MUDA menetapkan sasaran untuk mengukuhkan kedudukan parti itu di kawasan luar bandar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata naib presidennya Teo Lee Ken.
Ketika ini Muda mempunyai kira-kira 73,000 ahli berdaftar di seluruh negara dan 60,000 sukarelawan.
“Fokus dalam jangka pendek ialah mengukuhkan kedudukan kami di kawasan luar bandar di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Perak sebelum bergerak ke tempat lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Pada masa yang sama kami akan memperkukuhkan dasar dan identiti parti. Ini sesuatu yang perlu kami usahakan dengan gigih, bagi membina dan memperjelaskan identiti kami apabila ia bersangkut paut dengan pendirian serta apa yang ingin kami lakukan.
“Kami juga mahu melipatgandakan kerja-kerja di peringkat akar umbi dan pergerakan kami termasuk perkhidmatan.
“Kami turut turun padang untuk ambil tahu masalah rakyat, kami mewujudkan jentera pilihan raya dan mengatur siri jelajah ke seluruh negara untuk bertemu ahli dan pengundi,” jelasnya.
Muda diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada September 2020. Beliau juga satu-satunya wakil rakyat dari parti itu di Parlimen.

Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac merupakan penyertaan pertama kali Muda dalam pilihan raya, dengan meletakkan setiausaha agungnya Amira Aisya Abd Aziz bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa.
Amira Aisya menang dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Ditanya sama ada Muda mampu menawan pengundi di kawasan luar bandar di pantai timur pada PRU15, Teo mengakui perkara itu sukar namun tidak mustahil dicapai dalam jangka masa panjang.
Namun katanya Muda sedang berusaha untuk menembusi Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan memberi penekanan untuk mendekati pengundi agar lebih dikenali.
“Kebajikan sosial di peringkat akar umbi juga penting.
“Rakyat sedang dibelenggu kos sara hidup, jadi bagaimana kami boleh bantu mereka? Contohnya, bantuan komputer riba, keperluan asas dan makanan.
“Ini secara tidak langsung membolehkan kami membina hubungan dengan pengundi,” ujar Teo.

Jerayawara Muda
Muda akan memulakan siri jelajah ke seluruh negara mulai minggu depan selama dua hingga tiga bulan, dengan kerjasama mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan berkepentingan, kata Teo.
“Ada sasaran tertentu yang kami capai dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kami mahu turun padang dan dapatkan pandangan rakyat tentang isu-isu utama sekarang ini.
“Tentang harapan rakyat untuk Malaysia bergerak ke depan, apa yang rakyat mahu dalam manifesto kami dan apa yang mereka mahu kami lakukan,” jelasnya. – 14 Julai, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen