China akan henti ujian Covid beberapa barang import


China berkata negaranya akan menghentikan ujian Covid-19 terhadap beberapa barangan import supaya dapat mengimbangi dasar sifar-Covidnya dengan kelembapan ekonomi. – Gambar EPA, 13 Julai, 2022.

CHINA akan berhenti membuat ujian Covid-19 terhadap beberapa barangan import, kata suruhanjaya kesihatan kebangsaannya, ketika Beijing bergelut mengimbangi dasar sifar-Covid dengan kelembapan ekonomi.

Ekonomi utama terakhir yang komited untuk menghentikan penularan virus dalam negara, China telah membuat ujian dan menyahjangkit penghantaran luar negara sejak 2020 dan sering menyalahkan importnya atas penularan virus.

Sekatan ke atas barangan import sebelum ini telah mewujudkan kesesakan beberapa produk, sebagai contoh beribu-ribu tan buah tropika rosak di sempadan Vietnam sementara pemandu menunggu untuk dibenarkan masuk ke China.

Barangan yang tidak disejukkan, termasuk penghantaran arang batu, bijih mineral, bahan makanan dan makanan haiwan kini boleh masuk ke China tanpa diuji untuk Covid-19, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) dalam satu kenyataan pada Selasa, walaupun “berisiko tinggi” barang itu masih perlu dibasmi kuman.

NHC berkata keputusan itu bertujuan untuk “memastikan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan” selain menyatakan “di bawah keadaan suhu bilik koronavirus hanya boleh bertahan untuk masa yang singkat”.

Import sejuk beku akan terus diuji di bawah peraturan semasa.

Para saintis mengatakan terdapat sedikit bukti koronavirus yang dibawa pada objek seperti produk rantaian sejuk boleh menjangkiti manusia, walaupun CDC Amerika Syarikat mengesyorkan membasmi kuman permukaan yang telah disentuh dengan kerap oleh pesakit Covid.

China kekal terikat dengan dasar sifar-Covid, mengekang kemunculan virus dengan penutupan segera, kuarantin paksa dan sekatan perjalanan yang membebankan walaupun menyusahkan rakyat selain merosakkan ekonomi.

Tetapi strategi itu telah melemahkan pertumbuhan, dengan bandar terbesar Shanghai terhenti selama dua bulan berikutan penularan semula virus, manakala berpuluh-puluh yang lain bergelut dengan peraturan yang diperketatkan untuk memerangi wabak tempatan. – AFP, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen