Rusia buka kes jenayah terhadap pemimpin pembangkang 


Pemimpin pembangkang Rusia Ilya Yashin didakwa bercakap mengenai "pembunuhan orang awam di Bucha" di saluran YouTubenya pada 7 April.– Gambar EPA, 13 Julai, 2022.

PIHAK berkuasa Rusia telah melancarkan kes jenayah terhadap Ilya Yashin, salah seorang tokoh pembangkang terakhir yang tinggal di negara itu, kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai tentera, kata peguamnya pada Selasa.

“Saya menerima panggilan daripada penyiasat—mereka mula menggeledah rumahnya,” kata peguam Vadim Prokhorov di Facebook.

Prokhorov kemudiannya dipetik oleh agensi berita Rusia sebagai berkata siasatan itu dilancarkan kerana anak guamnya bercakap mengenai “pembunuhan orang awam di Bucha” di saluran YouTubenya pada 7 April.

Tentera Rusia dituduh melakukan jenayah perang di pinggir bandar Kyiv selepas mayat awam ditemui di sana berikutan pengunduran mereka.

Seorang lagi peguam Yashin, Mikhail Biriukov, berkata pencarian telah dijalankan di rumahnya dan Yashin telah dibawa keluar dari penjara untuk hadir.

Pada Jun, Yashin, yang merupakan ahli majlis bandar Moscow, dijatuhi hukuman penjara 15 hari kerana tidak mematuhi arahan polis. Beliau ditetapkan untuk dibebaskan pada awal pagi Rabu.

Yashin merupakan tokoh pembangkang  terkenal di Rusia sejak protes besar-besaran terhadap Presiden Vladimir Putin pada 2011-2012. Beliau telah mengecam serangan Rusia di Ukraine.

Yashin juga merupakan sekutu ketua pembangkang yang dipenjarakan Alexei Navalny dan rapat dengan Boris Nemtsov, seorang ahli politik pembangkang yang dibunuh berhampiran Kremlin pada 2015.

Selepas Putin menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari, Rusia memperkenalkan undang-undang yang mengenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun kerana menyebarkan maklumat mengenai tentera yang dianggap palsu oleh kerajaan Rusia. – AFP, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen