Twitter saman Elon Musk 


Elon Musk didakwa cuba melanggar kontrak yang ditandatanganinya untuk mengambil alih Twitter. – Gambar EPA, 13 Julai, 2022.

TWITTER pada Selasa bertindak memfailkan saman terhadap Elon Musk kerana melanggar kontrak AS$44 bilion yang ditandatanganinya untuk membeli firma teknologi itu, menurut dokumen mahkamah.

Saman yang difailkan di negeri Delaware Amerika Syarikat menggesa mahkamah memerintahkan jutawan itu menyelesaikan perjanjiannya untuk membeli Twitter, dengan alasan bahawa tiada kerosakan kewangan boleh membaiki kerosakan yang dilakukannya.

“Tindakan Musk hanya mengesahkan bahawa beliau mahu melarikan diri dari kontrak mengikat yang ditandatanganinya secara bebas, dan merosakkan Twitter dalam proses itu,” menurut tuntutan itu.

“Twitter telah menderita dan akan terus mengalami kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki akibat pelanggaran yang dibuat defendan.”

Saham Twitter naik sedikit dalam dagangan selepas berita itu tersebar.

Penganalisis berkata cubaan Musk keluar daripada pembelian meletakkan syarikat itu dalam keadaan terdedah pada saat yang mencabar.

Selepas beberapa minggu diancam, Musk lewat minggu lalu menarik balik perjanjian itu, menuduh Twitter mengeluarkan kenyataan “mengelirukan” mengenai jumlah akaun palsu, menurut surat daripada peguamnya yang dimasukkan dalam fail sekuriti AS.

Dalam kenyataan umum pertamanya sejak pengumuman itu, Musk melalui Twitter mengecam syarikat itu selepas ia menyatakan akan mengambil tindakan saman untuk menguatkuasakan perjanjian itu.

“Mereka berkata saya tidak boleh membeli Twitter. Kemudian mereka tidak akan mendedahkan maklumat bot. Sekarang mereka mahu memaksa saya membeli Twitter di mahkamah. Sekarang mereka perlu mendedahkan maklumat bot di mahkamah,” tulisnya dalam tweet, dengan gambar Musk ketawa gembira.

Penamatan perjanjian pengambilalihan yang ditandatangani Musk pada April akan menyebabkan proses mahkamah yang panjang dengan Twitter. – AFP, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen