Presiden Sri Lanka lari ke Maldives dengan pesawat tentera


Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa

PRESIDEN Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa terbang keluar dari negaranya pada awal Rabu, berikutan bantahan meluas berhubung krisis ekonomi terburuk pernah berlaku di negara pulau itu.

Ia kemungkinan sebagai permulaan kepada peletakan jawatannya. 

Pada hujung minggu lalu, beliau berjanji untuk meletakkan jawatan pada Rabu bagi memberi laluan kepada peralihan kuasa secara aman selepas meninggalkan kediaman rasminya di Colombo. 

Sebagai presiden, Rajapaksa menikmati imuniti daripada penahanan, dan beliau dipercayai ingin ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.

Beliau, isteri dan seorang pengawal peribadinya antara empat penumpang di dalam pesawat tentera Antonov-32 yang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa utama menuju ke Maldives, menurut sumber imigresen.

“Pasport mereka dicop dan mereka menaiki penerbangan khas tentera udara,” kata seorang pegawai imigresen yang terlibat dalam proses itu kepada AFP.

Pemergian pemimpin berusia 73 tahun itu yang pernah dikenali sebagai ‘The Terminator’ telah dihalang selama lebih 24 jam kerana insiden pergaduhan memalukan dengan kakitangan imigresen di lapangan terbang.

Beliau ingin terbang ke Dubai dengan penerbangan komersial, namun kakitangan di Bandaranaike International menarik diri daripada perkhidmatan VIP dan menegaskan bahawa semua penumpang perlu melalui kaunter awam.

Rajapaksa bagaimanapun enggan melalui saluran biasa kerana takut dengan tindakan orang ramai, kata seorang pegawai keselamatan, dan akibatnya terlepas empat penerbangan pada Isnin yang mungkin membawa mereka ke Emiriah Arab Bersatu. – AFP, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen