PETRONAS telah melupuskan semua asetnya di Azerbaijan dan hasil pelupusan sudah pun dipulangkan dengan sewajarnya berhubung pertikaian antara kerajaan Malaysia dengan kesultanan Sulu, kata syarikat minyak negara.
Dalam satu kenyataan malam ini, Petronas mengesahkan dua anak syarikatnya yang disita seperti dilaporkan Financial Times hari ini telah menerima notis ‘Saisie-arret’ semalam.
“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan ini telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022.
“Petronas ingin menjelaskan kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya,” katanya.
Petronas juga menganggap tindakan yang diambil terhadapnya tidak berasas dan akan terus mempertahan kedudukannya dari segi undang-undang dalam hal ini.
Financial Times hari ini melaporkan bailif di Luxembourg menyita dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai hampir RM9 bilion sebagai sebahagian daripada pertikaian panjang antara kerajaan Malaysia dan waris kesultanan Sulu.– 12 Julai, 2022.
Komen