JABATAN Peguam Negara akan meneliti laporan berkenaan dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dilapor disita waris kesultanan Sulu, lapor Free Malaysia Today.
Peguam Negara Idrus Harun dipetik portal itu berkata pejabatnya telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Idrus mengulas laporan Financial Times hari ini, yang menyebut waris kesultanan Sulu telah menyita dua aset syarikat minyak negara – Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus – yang diperbadankan di Luxemborg, yang dianggarkan bernilai hampir RM9 bilion.
Menurut laporan itu dua anak syarikat Petronas itu dirampas oleh bailif di Luxemborg yang mewakili waris Sulu berkenaan.
Mac lalu mahkamah timbang tara Perancis memutuskan Malaysia perlu membayar waris kesultanan Sulu sebanyak RM62.6 bilion kerana menyerahkan Sabah kepada syarikat British pada 1878, yang kemudiannya diserahkan kepada Malaysia.
Kerajaan membayar pajakan tahunan kepada waris Kesultanan Sulu sebanyak RM5,300, tetapi memotong pembayaran ini berikutan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat pada Mac yang Malaysia tidak akan mengiktiraf keputusan mahkamah timbang tara itu kerana keputusan yang ditetapkan penimbang tara Gondoza Stampa sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.
Ahli Parlimen Kota KInabalu petang tadi menyelar Putrajaya dan Petronas kerana cuai sehingga menyebabkan aset syarikat minyak negara itu disita oleh waris kesultanan Sulu.
Sementara itu peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla Peguam dalam satu catatan di Facebook berkata Idrus perlu menjelaskan mengapa perkara ini boleh berlaku. – 12 Julai, 2022.
Komen