Ahli Parlimen DAP tuduh Putrajaya, peguam negara cuai aset Petronas disita


Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mengulas laporan Financial Times yang menyebut waris kesultanan Sulu telah menyita aset dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxemborg. – Gambar Facebook, 12 Julai, 2022.

PEGUAM negara dan pasukan undang-undang Petronas cuai sehingga menyebabkan aset syarikat minyak negara itu disita oleh waris kesultanan Sulu, kata seorang ahli Parlimen DAP.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mempersoalkan mengapa Putrajaya boleh membiarkan perkara ini berlaku.

“Bagaimana kerajaan Malaysia boleh membiarkan perkara sebegitu berlaku terhadap aset negara?

“Mengapa tiada injunksi atau perintah sekatan difailkan terhadap kononnya pewaris kesultanan Sulu daripada melakukan lebih banyak kerosakan berniat jahat?

“Apa tindakan yang diambil sejak kali terakhir perintah timbang tara diperolehi? Apakah yang telah dilakukan untuk mengetepikan perintah timbang tara? Nampaknya tiada apa-apa,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Chan mengulas laporan Financial Times yang menyebut waris kesultanan Sulu telah menyita aset dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxemborg, yang dianggarkan bernilai hampir RM9 bilion.

Menurut laporan itu dua anak syarikat tersebut, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dirampas oleh bailif di Luxemborg yang mewakili waris Sulu berkenaan.

Mac lalu mahkamah timbang tara Perancis memutuskan Malaysia perlu membayar waris Kesultanan Sulu sebanyak RM62.6 bilion kerana menyerahkan Sabah kepada syarikat British pada 1878, yang kemudiannya diserahkan kepada Malaysia.

Kerajaan membayar pajakan tahunan kepada waris Kesultanan Sulu sebanyak RM5,300, tetapi memotong pembayaran ini berikutan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Petronas dan Wisma Putra, dan sedang menunggu maklum balas pihak mereka.

Sejurus selepas keputusan pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat yang Malaysia tidak akan mengiktiraf keputusan itu, memandangkan kuasa penimbang tara Gondoza Stampa dibatalkan.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah juga berkata kerajaan akan menghantar notis diplomatik ke 168 negara, meminta mereka memaklumkan Wisma Putra jika ada tuntutan serupa difailkan di bawah bidang kuasa masing-masing. – 12 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen