TAKIYUDDIN Hassan mengesahkan terlibat membuat draf perjanjian jawatan timbalan perdana menteri antara Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tetapi bukan atas kapasitinya sebagai pemimpin PAS.
Katanya, beliau terlibat pada waktu itu sebagai bekas menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.
“Saya adalah bekas menteri undang-undang, jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya (semata-mata) adalah Takiyuddin.
“Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya, seperti dipetik BH Online di Bukit Gantang.
Takiyuddin berkata dokumen berkenaan menyebut mengenai soal jawatan timbalan perdana menteri tetapi tidak mensyaratkan pelantikannya sebagai mesti.
Ini kerana jawatan berkenaan tiada dalam Perlembagaan Persekutuan sebaliknya konvensyen yang jadi amalan semua perdana menteri sebelum ini, kecuali Muhyiddin.
Muhyiddin yang letak jawatan pada 16 Ogos tidak melantik timbalan perdana menteri tetapi menamakan empat menteri kanan. Ismail Sabri yang menggantikan Muhyiddin bermula 20 Ogos juga mengekalkan amalan itu.
Takiyuddin juga berkata tidak pasti sama ada Presiden PAS Abdul Hadi Awang tahu mengenai perjanjian itu.
“Tidak semua orang tahu mengenai ‘perjanjian’ (MoA) itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Abdul Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan.
“Mungkin kenyataannya (Abdul Hadi) sebelum ini (mengenai tidak wujud perjanjian Muhyiddin-Ismail Sabri) adalah jawapannya secara spontan apabila ditanya yang mana dia mungkin tidak tahu,” katanya.
Abdul Hadi yang ditanya pemberita di Marang pada Jumaat berkata tiada perjanjian antara Perikatan Nasional dengan Ismail Sabri mengenai jawatan timbalan perdana menteri.
Semalam, Muhyiddin yang diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi berkata presiden PAS boleh merujuk perkara berkenaan kepada Takiyuddin, yang disebutnya menulis perjanjian itu.
Isu pelantikan timbalan perdana menteri berbangkit selepas Muhyiddin mengesahkan berbincang mengenainya dengan Ismail Sabri baru-baru ini.
Perbincangan mereka bukan sahaja mengenai cadangan rombakan Kabinet selepas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu tetapi turut membincangkan soal pelantikan timbalan perdana menteri.
Menurut Muhyiddin, perbincangan mereka selaras dengan perjanjian dengan Ismail Sabri, ketika pihaknya memberikan sokongan untuk beliau jadi perdana menteri pada Ogos 2021.
Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang dilantik menteri atas kuota Bersatu. Beliau keluar Bersatu untuk masuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan bakal jadi presiden parti itu. – 12 Julai, 2022.
Komen