Letupan kereta bunuh ketua kampung pro-Rusia di Ukraine


Media Rusia melaporkan seorang ketua kampung di Velikiy Burluk, di wilayah Kharkiv, Ukraine terbunuh dalam letupan kereta. – Gambar EPA, 12 Julai, 2022.

KETUA kampung pro-Moscow yang diduduki tentera Rusia di timur laut Ukraine meninggal dunia selepas keretanya diletupkan, lapor media Rusia pada Isnin.

Agensi berita TASS berkata Yevgeny Yunakov, ketua kampung Velikiy Burluk, di wilayah Kharkiv, meninggal dunia selepas letupan.

“Pentadbiran awam tentera” pro-Moscow menggelar letupan itu sebagai “serangan pengganas” yang dianjurkan oleh pihak berkuasa Ukraine.

Tentera Rusia telah menduduki sebahagian wilayah Kharkiv tetapi bandar kedua terbesar di Ukraine itu masih di bawah kawalan Kyiv.

TASS berkata pihak berkuasa yang disokong Rusia akan berpangkalan di bandar Kupyansk, di timur wilayah Kharkiv.

Seorang bekas ketua polis, Vitaliy Ganchev, akan mengetuai pentadbiran.

Pihak berkuasa Rusia sebelum ini telah membentuk pentadbiran pro-Moscow di wilayah selatan Kherson yang diduduki dan wilayah Zaporizhzhia yang sebahagiannya ditawan.

Serangan terhadap pegawai pro-Moscow telah meningkat di kedua-dua wilayah sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Awal Isnin, pihak berkuasa wilayah Kherson yang disokong Moscow berkata mereka telah menggagalkan serangan terhadap pemimpin tempatan mereka.

Kharkiv mengalami kemusnahan besar pada hari-hari pertama serangan Moscow, sebelum tentera Ukraine menyekat kemaraan tentera Rusia dari bandar itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari. – AFP, 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen