PM Perancis terselamat usul undi tidak percaya


PM Perancis Elisabeth Borne terselamat dalam usul undi tidak percaya terhadapnya kali pertama di Parlimen, yang dibawa oleh pembangkang. – Gambar EPA, 12 Julai, 2022.

PERDANA Menteri Perancis Elisabeth Borne terselamat dalam usul undi tidak percaya terhadapnya kali pertama di Parlimen, yang dibawa oleh pembangkang.

Usul itu yang memerlukan 289 undi sokongan untuk diluluskan, hanya menerima 146 sokongan daripada 577 timbalan di Dewan selepas hampir tiga jam dibahaskan.

Parti France Unbowed (LFI) membawa usul itu terhadap Borne, yang mengetuai kerajaan minoriti, tetapi beliau terselamat apabila dua parti pembangkang lain tidak menyokong usul itu sebelum ia diundi.

Ketika perbahasan, perdana menteri menuduh LFI membazirkan masa Parlimen, daripada membincangkan topik penting.

“Hari ini kita sepatutnya bekerja untuk kebaikan rakyat Perancis,” kata Borne.

“Sebaliknya, kita berdebat tentang undi tidak percaya yang dibuat dikatakan berdasarkan kepada niat saya, dan menghalang kerja Parlimen serta kepentingan rakyat.”

Borne dilantik oleh Presiden Emmanuel Macron pada Mei, sebulan sebelum pemilihan parlimen di mana parti pemerintah itu hilang majoritinya.

Borne, 61, dengan jelas menyatakan pendiriannya untuk bergantung kepada undi parti pembangkang bagi meluluskan undang-undang, dengan parti Republican dilihat penting untuk masa depannya.

Sokongan daripada 62 ahli Parlimen Republican memadai untuk kerajaan meluluskan undang-undang di Parlimen. – AFP, 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen