POLIS Uganda melepaskan gas pemedih mata dan menahan sekurang-kurangnya 12 penunjuk perasaan pada Isnin selepas protes menentang kenaikan harga makanan dan bahan api di negara Afrika Timur itu bertukar menjadi ganas.
Negara dengan 45 juta penduduk itu dilanda kemerosotan ekonomi yang didorong oleh pandemik, yang diburukkan lagi oleh perang Rusia di Ukraine.
Inflasi harga makanan meningkat lebih dua kali ganda kepada 13.1 peratus pada Mei, menurut angka terkini oleh kerajaan.
Pada Isnin, penunjuk perasaan membakar tayar terpakai dan menyekat lebuh raya yang sibuk di Jinja, kira-kira 80 kilometer timur ibu kota Kampala, menuntut kerajaan memberi subsidi makanan ruji.
“Polis menggunakan sedikit tindakan keras termasuk gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan,” kata jurucakap polis kawasan James Mubi kepada AFP.
“Lapan daripada ketua kumpulan itu telah ditangkap,” katanya, menambah yang mereka akan didakwa pada Selasa kerana menghasut keganasan.
Penunjuk perasaan juga telah memaksa para pengguna jalan raya untuk menyertai mereka bagi meminta perubahan, kata saksi kepada AFP.
“Kami menyokong bantahan sebegitu. Kerajaan mesti bertindak. Orang ramai dalam kelaparan,” kata peniaga alat ganti Solomon Wandibwa yang berusia 28 tahun.
Harga bahan api, makanan dan barangan asas lain telah melonjak secara global berikutan perang Ukraine, melanda negara-negara seperti di Afrika dan tempat lain.
Di Uganda, petrol dijual pada harga 7,000 syiling (AS$1.85) seliter, peningkatan dua kali ganda sejak Februari. Di beberapa bahagian terpencil di negara tersebut, stesen minyak menjual satu liter bahan api setinggi 10,000 syiling.
Memandangkan rasa tidak puas hati terus meningkat mengenai kenaikan harga, Presiden Yoweri Museveni sebaliknya berulang kali mengabaikan seruan untuk pemotongan cukai dan subsidi, menggesa rakyat untuk hidup berjimat cermat. – AFP, 12 Julai, 2022.
Komen