Kyiv beri amaran Rusia akan perhebat serangan di Donbas


Beberapa tentera Ukraine mengangkat keranda rakan mereka yang terbunuh diserang tentera Rusia di Donbas, Ukraine. – Gambar EPA, 12 Julai, 2022.

UKRAINE memberi amaran pada Isnin yang tentera Rusia sedang bersiap untuk memperhebatkan serangan mereka di bandar-bandar utama Donbas, ketika Presiden Volodymyr Zelensky menuduh Kanada melemahkan sekatan terhadap Moscow.

Di timur Ukraine – titik tumpuan bagi serangan Rusia – angka kematian akibat serangan bom hujung minggu ke atas sebuah bangunan pangsapuri di bandar Chasiv Yar di wilayah Donetsk meningkat kepada 33 orang, menurut perkhidmatan kecemasan.

Berpuluh-puluh penyelamat kelihatab di tengah-tengah runtuhan bangunan yang sebahagiannya musnah pada Isnin, dibantu oleh pekerja penggali.

Terdahulu, serangan roket maut Rusia melanda Kharkiv, bandar kedua negara itu, dalam serangan yang disasarkan ke atas “pusat membeli-belah dan kediaman awam”, kata ketua wilayah Oleg Synyegubov.

Pendakwa raya di wilayah itu berkata “enam orang awam terbunuh, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dan bapanya” pada masa serangan itu, menurut agensi berita Interfax-Ukraine.

Sementara itu tentera Ukraine memberi amaran yang askar Rusia berkemungkinan akan melancarkan beberapa serangan terberat mereka di wilayah Donetsk.

“Terdapat tanda-tanda unit musuh bersiap sedia untuk memperhebatkan operasi tempur ke arah Kramatorsk dan Bakhmut,” katanya, merujuk kepada dua bandar utama yang masih di bawah kawalan Ukraine.

Serangan terbaharu di Ukraine berlaku ketika Eropah bersiap sedia untuk mengurangkan lagi bekalan gas dari Rusia.

Pada Isnin, gergasi gas Rusia Gazprom memulakan lebih seminggu penyelenggaraan rutin pada saluran paip Nord Stream 1 – dengan Jerman dan negara Eropah lain memerhati cemas bagi melihat sama ada gas itu dihidupkan semula. – AFP, 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen