PM baharu UK diumum 5 September


PM baharu UK yang akan menggantikan Boris Johnson akan diumumkan pada 5 September, dengan setakat ini 11 calon mengintai jawatan itu. – Gambar EPA, 12 Julai, 2022.

PERDANA menteri baharu UK yang akan menggantikan Boris Johnson akan diumumkan pada 5 September, kata parti pemerintah Konservatif, dengan setakat ini 11 calon mengintai jawatan itu.

Perlawanan merebut jawatan itu tercetus minggu lalu apabila Johnson, 58, dipaksa meletak jawatan selepas lebih 50 anggota Kabinetnya meletak jawatan, sebagai bantahan terhadap skandal dalam pemerintahannya.

Pencalonan akan dibuka secara rasmi dan ditutup pada hari ini, dengan perdana menteri baharu dilantik apabila Parlimen kembali bersidang selepas tamat cuti musim panas pada 5 September, kata pengerusi Jawatankuasa 1922 Graham Brady.

Ahli Parlimen Tory akan mengecilkan senarai calon menerusi dua siri undian, dengan calon tewas setiap pusingan akan tersingkir, sebelum ahli parti memilih pemenang.

Dengan desakan untuk Johnson keluar dari Downing Street secepat mungkin – dan mengelak proses itu hingga ke cuti musim panas ahli Parlimen – jumlah calon akan dikecilkan kepada dua saja.

Undian pertama akan diadakan pada Rabu, dengan undia kedua mungkin Khamis, kata Brady.

Dalam usaha mempercepatkan proses itu, calon perlu mempunyai sekurang-kurangnya sokongan 20 ahli Parlimen untuk masuk ke perlawanan itu, berbanding hanya lapan sokongan sebelum ini.

Calon yang gagal mendapat sokongan 30 ahli Parlimen dalam undian pertama akan disingkirkan.

Antara calon yang bakal bertanding ialah Rishi Sunak dan Sajid Javid, yang juga bekas menteri kewangan dan menteri kesihatan yang mencetuskan gelombang peletakan jawatan. – AFP, 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen