Dolar Singapura tinggi, pikat pekerja Johor


Khoo Gek San

Gaji bulanan pelayan dan tukang masak yang bekerja di Singapura jauh lebih tinggi berbanding gaji di Johor, apabila dolar ditukar kepada ringgit. – Gambar EPA, 12 Julai, 2022.

PERNIAGAAN di Johor hilang pekerja kerana kebanyakannya mahu bekerja di Singapura susulan kadar tukaran matawang republik itu yang tinggi, menurut sektor pembuatan dan makanan.

Restoran Cina khususnya, bergelut untuk mendapatkan tukang masak dan pelayan, sementara bagi sektor pembuatan, berlaku masalah kekurangan pekerja di peringkat penyelia.

Presiden Persatuan Restoran Koo Soo dan Tukang Malaysia Pan Malaysia Wong Teu Boon berkata restoran di Johor menawarkan gaji RM3,000 untuk pekerja, tetapi tidak mampu bersaing dengan SG$3,000 ditawarkan majikan Singapura.

“Kekurangan pekerja jadi semakin meruncing selepas sempadan dibuka semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malaysia membuka semula sempadan kepada pengembara antarabangsa pada 1 April lalu selepas dua tahun perintah kawalan pergerakan Covid-19 dikuatkuasakan.

Wong berkata dengan angka ditawarkan majikan di Singapura, bila ditukar akan mencecah lebih RM9,000, sudah tentu ia menjadi pilihan kebanyakan pekerja.

Ringgit ditukar rendah daripada RM3.15 berbanding dolar Singapura sejak pertengahan April, dan pada masa ini RM3.16.

“Sudah tentu mereka akan pilih Singapura,” kata Wong.

Pengarah Urusan Kumpulan Loon Sing iaitu rangkaian restoran makanan laut, Sia Boon Kong berkata kekurangan pekerja menjejaskan kualiti perkhidmatan mereka.

Perniagaan sangat aktif sekarang tetapi margin keuntungan belum kembali kepada paras pra pandemik dan mereka berdepan masalah kekurangan pekerja, kenaikan harga barang dan gaji lebih tinggi.

Waktu menunggu untuk pelanggan dilayan juga menjadi lebih lama, memandangkan mereka kini hanya ada tiga pekerja berbanding 10 sebelum ini.

“Kami beroperasi dengan tenaga kerja sedia ada dan memandangkan pandemik belum berakhir, kami masih perlu mengeluarkan kos untuk basmi kuman,” kata Sia.

Selain restoran, perniagaan kecil dan sederhana juga berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang teruk.

Presiden Persatuan IKS Johor Selatan James Tan Tien Chong berkata kejatuhan ringgit dan Singapura yang terus-terusan mengambil pekerja memberi kesan terhadap industri perkhidmatan dan pembuatan Johor.

Industri pembuatan berdepan masalah kekurangan pekerja peringkat penyelia, katanya.

Tan berkata kekurangan pekerja juga bermakna banyak tempahan dalam sektor elektrik dan elektronik tidak dapat dipenuhi, dan kebanyakan kilang mulai menolak tempahan baharu.

Gaji bulanan untuk pekerja di Singapura apabila ditukar kepada ringgit, hampir sama dengan gaji tiga bulan bekerja di Malaysia, kata Tan dan memetik contoh pencuci pinggan dibayar gaji SG$2,500 dan jika ditukar kepada ringgit, RM7,898.

“Singapura terlalu menarik, kerana ringgit jatuh teruk.” – 12 Julai, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen