Bapa didakwa sebabkan kematian bayi perempuan


Looi Sue-Chern

Muhamad Firdaus Saidon (berbaju merah) dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas didakwa menyebabkan kematian bayi perempuannya yang berusia 47 hari.– Gambar The Malaysian Insight, 21 Februari, 2018. 

SEORANG bapa didakwa membunuh bayi perempuan berusia 47 hari di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini. 

Muhamad Firdaus Saidon, 22, yang bekerja sebagai pemandu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 15 Februari kira-kira jam 10.45 pagi di rumahnya di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah. 

Bagimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan. Firdaus tidak diwakili peguam. 

Bayi malang terbabit, Nurul Ain Muhammad Firdaus, yang lahir pada 30 Disember lalu bagaimanapun tidak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, meninggal dunia kira-kira jam 110.45 pagi semalam, selepas dibawa ke Hospital Seberang Jaya.

Dia didakwa didera oleh ibu bapanya di kediaman mereka di Kampung Tok Panjang. 

Bagaimanapun, ibu bayi berkenaan dibebaskan dan akan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. 

Laporan bedah siasat mendapati, bayi berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan otak. 

Pada badannya juga terdapat kesan kecederaan, termasuk kesan gigitan pada dagu dan badannya. 

Majistret Muhamad Anas Mahadzir menetapkan 19 April sebagai sebutan kes sementara menunggu penyerahan dokumen. – 21 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen