Polis Terengganu siasat agensi gagal urus pakej haji


POLIS Terengganu kini sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri M Zambri Mahmud berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 7 Julai lalu daripada seorang mangsa warga emas yang mendakwa ditipu agensi berkenaan.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya siasatan awal mendapati, mangsa berusia 62 tahun yang juga seorang pesara membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lalu.

“Bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 dibuat ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan itu menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000,” katanya.

M Zambri berkata, pemilik agensi itu kemudiannya memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu.

“Tangkapan ke atas suspek akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan di kontinjen lain selesai.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam pemilihan pakej haji dan memilih agensi pelancongan yang berkeupayaan untuk melaksanakannya,” katanya. – Bernama, 11 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen