LEBIH 400 termasuk pelancong dan pemandu lori terkandas dalam ribut salji di pergunungan Andes berhampiran sempadan Argentina-Chile, dengan suhu menjunam ke bawah paras beku.
Di bahagian Argentina, seramai 120 diselamatkan polis dan tentera manakala 200 lagi masih terperangkap pada ketinggian 3,000 meter.
Pegawai dari Kampung Las Heras Hector Tello memberitahu media suhu turun sehingga -10 darjah Celsius dengan salji setebal lebih satu meter menutupi jalan raya.
Wilayah terbabit, kira-kira 1,200km dari barat Buenos Aires, dilanda cuaca sejuk melampau.
Tello berkata orang ramai terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan di bandar berhampiran dengan operasi pemindahan disasarkan selesai pada hari ini.
“Keadaan cuaca berterusan buruk,” katanya.
Sementara itu, pegawai polis, Hector Castro berkata lebih 200 turut terkandas di bahagian Chile.
Ribut salji melanda sejak Sabtu, membadai laluan pergunungan menghubungkan dua negara dan mengakibatkan lebih 300 kenderaan terkandas.
Pihak berkuasa menutup pintu masuk sempadan Los Libertadores. – AFP, 11 Julai, 2022.
Komen