MALAYSIA kembali mencatat kes harian Covid-19 melebihi paras 3,000 dengan 3,264 jangkitan baharu dilaporkan semalam berbanding 2,799 kes sehari sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan.
Laman web CovidNow juga menunjukkan terdapat dua kematian direkodkan di negara ini semalam, masing-masing satu di Selangor dan Sarawak.
Kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sejak bermulanya wabak itu kepada 4,595,974, manakala angka kematian mencecah 35,811 susulan kematian terkini.
Menurut data GitHub kementerian, Selangor mencatat jumlah jangkitan baharu paling banyak iaitu 1,326 kes, diikuti Kuala Lumpur (847) dan Perak (230).
Sabah melaporkan 208 kes, Pulau Pinang (144), Negeri Sembilan (131), Putrajaya (84), Johor (75), Melaka (62), Sarawak (47), Pahang (38), Kedah (37), Kelantan (14), Terengganu (12), Labuan (5) dan Perlis (4).
Kes aktif meningkat kepada 35,882 semalam manakala 2,703 orang pulih daripada penyakit itu.
Antara kes aktif, 34,659 (96.6%) menjalani kuarantin di rumah, 24 (0.1%) berada di pusat kuarantin berisiko rendah dan 1,156 (3.2%) mendapatkan rawatan di hospital.
Terdapat 43 pesakit dalam unit rawatan rapi, 26 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 11 Julai, 2022.

Komen