Satu lagi kes positif Covid-19 babit pelumba Tour de France


Pelumba Perancis, Guillaume Martin terpaksa melupakan saingan Tour de France selepas beliau disahkan positif Covid-19 hari ini. – Gambar EPA, 10 Julai, 2022.

COVID-19 memaksa pelumba Perancis, Guillaume Martin melupakan saingan Tour de France hari ini, sehari selepas dua pelumba dilaporkan positif virus tersebut ketika perlumbaan.

Pelumba Cofidis itu yang menduduki tempat tertinggi tahun lalu selepa menamatkan saingan di tempat ketujuh, berada di tempat ke-14 sebelum menarik diri ketika mendahului peringkat kelapan dari Aigle.

“Ia amat memalukan kerana saya hanya merasakan sedikit sakit tekak dan saya berada pada tahap yang baik semalam,” kata bekas pelajar yang menerbitkan dua judul buku bertajuk ‘Socrates on a bike’ dan ‘Society of the peloton’, kajian mengenai individu dalam kumpulan.

Pegawai perubatan kejohanan itu memberitahu AFP keseluruhan peloton akan disaring pada petang Ahad selepas ketibaan mereka di Chatel, Alps.

Peloton berlumba pada Sabtu selepas pelumba Norway, Vegard Stake Laengen dari UAE Team Emirates serta pelumba Perancis Geoffrey Bouchard dari AG2R Citroen disahkan positif Covid-19 dan penyertaan mereka dibatalkan.

Juara bertahan, Tadej Pogacar, 23, berkata selepas saingan peringkat pada Sabtu beliau bimbang Covid-19 boleh mendatangkan malapetaka pada kejohanan itu tahun ini.

“Ia satu ketakutan yang besar, wabak itu masih ada bersama kami, dan kami tidak boleh mengambil risiko berlumba dengannya,” kata juara bertahan sebanyak dua kali itu. – AFP, 10 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen