ISTANA presiden era kolonial Sri Lanka melambangkan kewujudan pihak berkuasa selama lebih 200 tahun, tetapi hari ini ia adalah simbol baharu pulau itu bagi “kuasa rakyat” selepas penghuninya melarikan diri.
Ribuan rakyat termasuk kanak-kanak berbondong-bondong masuk ke dalam kediaman rasmi yang mengagumkan itu beratur untuk duduk di atas kerusi Presiden Gotabaya Rajapaksa di tingkat atas manakala kanak-kanak dan ibu bapa memukul piano besar di tingkat bawah.
Di taman istana “Gordon Garden” yang mengagumkan itu, beberapa keluarga ketawa sambil menikmati makan tengah hari berkelah ketika sami Buddha berehat sambil mengagumi lantai marmar dan pendingin hawa pusat.
“Apabila pemimpin hidup dalam kemewahan seperti itu, mereka tidak tahu bagaimana rakyat jelata menguruskannya,” kata sami Sri Sumeda kepada AFP selepas berjalan sejauh 50 kilometer untuk melawat istana tersebut buat kali pertama.
“Ini menunjukkan apa yang boleh dilakukan apabila rakyat memutuskan untuk menggunakan kuasa mereka.”
Belum pernah berlaku sebelum ini
Sri Lanka, yang dahulunya merupakan sebuah hab ekonomi terkaya, sedang dilanda krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan hiperinflasi serta kekurangan mendesak barangan keperluan seperti bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.
Penunjuk perasaan sudah mendesak Gotabaya Rajapaksa, sebahagian daripada puak berkuasa yang telah mendominasi politik selama beberapa dekad, sejak beberapa bulan lalu untuk meletakkan jawatan.
Rajapaksa, 73, melarikan diri dari istana presiden semalam menggunakan pintu masuk belakang di bawah perlindungan tentera.
Ini adalah beberapa minit sebelum puluhan ribu penunjuk perasaan memecah masuk pagar besi walaupun terdapat polis, gas pemedih mata dan meriam air.
Hari ini, presiden yang bersembunyi di dalam sebuah kapal tentera laut di luar pantai berkata beliau akan meletakkan jawatan pada Rabu.
Jangan rosakkan lukisan
Pengawal presiden yang lengkap bersenjata masih ada, tetapi kali ini bergaul dengan pengunjung baharu malah bergambar swafoto dengan mereka yang kini mengawal koridor kuasa baharu.
Terdapat gurauan ringan ketika keluarga berebut untuk mengambil gambar di hadapan karya seni mahal atau artifak lain yang masih dipamerkan.
“Jangan rosakkan lukisan itu, ia bukan dibuat oleh Gotabaya,” baca papan tanda tulisan tangan yang dipasang aktivis universiti di barisan depan gerakan kuasa rakyat yang dikenali sebagai “Aragalaya”, atau bermaksud perjuangan.
Tidak lama selepas kejadian pecah masuk itu, ramai dilihat berenang ke dalam kolam presiden untuk menyejukkan badan, tetapi hari ini air berubah menjadi keruh dan hanya segelintir yang sanggup berenang. – AFP, 10 Julai, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen