Sekatan makanan Russia punca kegawatan di Sri Lanka, kata Blinken


Penunjuk perasaan menyerbu masuk kediaman rasmi presiden Sri Lanka di Colombo, semalam. Ribuan penunjuk perasaan memecah masuk penghadang polis semasa protes anti kerajaan. Kejadian itu memaksa Presiden Gotabaya Rajapaksa mengumumkan peletakan jawatannya. – Gambar EPA, 10 Julai, 2022.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat Antony Blinken berkata sekatan Russia terhadap eksport bijirin Ukraine mungkin menyumbang kepada kegawatan Sri Lanka.

Malah, beliau turut menyuarakan kebimbangan di mana tindakan itu boleh mencetuskan krisis lain.

“Kami melihat kesan pencerobohan Russia ini berlaku di mana-mana. Ia mungkin menyumbang kepada keadaan di Sri Lanka; kami bimbang tentang implikasi di seluruh dunia,” kata Blinken kepada pemberita di Bangkok.

Memperbaharui permintaan yang dibuatnya berulang kali, Blinken menggesa Russia untuk membenarkan kira-kira 20 juta tan bijirin dieksport keluar dari Ukraine.

“Apa yang kita lihat di seluruh dunia ialah meningkatkan ketidakamanan makanan yang diburukkan dengan ketara oleh pencerobohan Russia terhadap Ukraine,” kata Blinken.

Beliau berkata terdapat juga kesan di Thailand di mana harga baja “meningkat tinggi” akibat sekatan itu.

“Itu penting terutamanya di negara pertanian seperti Thailand, kerana jika tiada baja, kita tahu itu bermakna hasil tahun depan akan turun, harga berpotensi akan naik,” kata Blinken.

Sri Lanka dilanda kekacauan berminggu-minggu susulan kekurangan makanan dan bahan api yang teruk.

Presiden Gotabaya Rajapaksa bersetuju untuk berundur selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya, semalam.

Russia berkata ia akan membenarkan kapal Ukraine yang sarat dengan produk makanan berlepas jika tentera Ukraine melepaskan pelabuhannya, pilihan yang ditolak Kiev kerana bimbang akan keselamatan pantai Laut Hitamnya. – AFP, 10 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen