SEKURANG-KURANGNYA enam terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan tentera Russia ke atas sebuah bangunan pangsapuri di bandar Chasiv Yar, timur Ukraine, kata gabenor wilayah itu hari ini.
“Operasi menyelamat sedang dijalankan. Pasukan penyelamat dapat membawa keluar jasad enam mangsa yang maut dan lima cedera,” kata Gabenor Wilayah Donetsk, Pavlo Kyrylenko di Telegram.
Beliau berkata “Sekurang-kurangnya 30 yang lain berada di bawah runtuhan” bangunan empat tingkat itu. Ia susulan bedilan peluru berpandu jenis Uragan milik Russia.
Bangunan itu sebahagiannya musnah, lapor wartawan AFP sebaik tiba di tempat kejadian di mana pasukan penyelamat bersama penggali mekanikal sedang membersihkan kawasan itu.
Selepas mengharungi pertempuran yang panjang untuk menawan bandar di wilayah jiran Lugansk, Rusia kini cuba untuk memasuki Donetsk bagi mengukuhkan kuasanya ke atas seluruh wilayah Donbas di timur Ukraine.
“Penyelamat setakat ini sedang berhubung dengan dua orang mangsa di bawah runtuhan,” kata Kyrylenko.
Menurut gabenor itu, 591 orang awam terbunuh manakala 1,548 lagi cedera setakat ini di wilayah Donetsk sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu. – AFP, 10 Julai, 2022.
Komen