3 lagi pemimpin Konservatif umum rebut jawatan Boris Johnson


Boris Johnson, selepas hampir 60 anggota kanan kerajaannya meletak jawatan, memilih pasukan interim baharu dan akan terus menerajui kerajaan sehingga pimimpin baharu dipilih. - Gambar AFP, 10 Julai, 2022.

TIGA lagi pemimpin berpengaruh parti Konservatif, termasuk bekas menteri kesihatan Sajid Javid dan Jeremy Hunt, mengumumkan kesediaan untuk bertanding bagi menggantikan Perdana Menteri Boris Johnson lewat malam, tadi.

Ini sekali gus menyaksikan persaingan sengit membabitkan lapan pemimpin bagi merebut jawatan berkenaan setakat ini.

Javid dan bekas menteri kewangan Hunt yang sebelum ini tewas di tangan Johnson pada pilihan raya 2019, mengambil keputusan untuk turut memberi saingan.

Turut menawarkan diri adalah Canselor Perbendaharaan Nadhim Zahawi yang baru dilantik memegang jawatan itu Selasa lalu, namun tiada seorang pun daripada ketiga-tiga pemimpin itu dilihat sedang mendahului untuk menggantikan tempat Johnson.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan pendapat parti Konservatif baru-baru ini, mereka adalah antara calon berprofil tinggi yang melancarkan kempen setakat ini.

Beberapa jam sebelum itu, Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps berkata beliau akan turut bertanding.

Beliau antara ahli Parlimen berpengalaman yang pertama kali berkhidmat dalam Kabinet pada 2010, bagaimanapun Shapps tidak tersenarai sebagai antara calon berpengaruh mengikut tinjauan pendapat sama.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan Ben Wallace yang juga antara pemimpin dikagumi dan menjadi pilihan Ahli Parlimen Tory (Konservatif) dalam beberapa tinjauan baru-baru ini, mengumumkan beliau tidak akan bertanding selepas perbincangan dengan rakan sekerja dan keluarga.

Kempen pemilihan selama berbulan-bulan ini mungkin membabitkan persaingan lebih sedozen ahli Parlimen Konservatif dan pelbagai puak parti pemerintah.

Permulaan kempen akan dirasmikan esok apabila jawatankuasanya mengadakan pertemuan bagi mempersetujui jadual dan pelbagai peraturan berkaitan.

Pelopor awal adalah bekas menteri kewangan Rishi Sunak yang membantu memulakan pemberontakan Kabinet, sekali gus menyebabkan Johnson, pada Khamis lalu terpaksa meletakkan jawatan.

Johnson, yang kurang tiga tahun lalu memenangi pilihan raya dengan majoriti besar, dijatuhkan oleh skandal yang termasuk pelanggaran peraturan pandemik Covid-19, pengubahsuaian mewah kediaman rasminya dan pelantikan menteri yang terpalit skandal salah laku seksual.

Peguam Negara Suella Braverman; bekas menteri kesaksamaan Kemi Badenoch dan Ahli Parlimen Konservatif Tom Tugendhat turut menawarkan diri bertanding selain Setiauasaha Luar Liz Truss. – AFP, 10 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen