Jepun mengundi meskipun diselubungi kes pembunuhan Abe


Orang ramai mengundi di sebuah pusat mengundi di Tokyo, hari ini. Dua hari lalu, bekas perdana menteri Shinzo Abe maut dibunuh ketika berucap pada satu program kempen. – Gambar AFP, 10 Julai, 2022.

PUSAT mengundi dibuka hari ini bagi pilihan raya di Jepun, hanya dua hari selepas bekas perdana menteri Shinzo Abe maut dibunuh ketika berucap pada satu program kempen.

Pilihan raya itu yang menjangkakan parti Abe, yang juga parti kerajaan Parti Liberal Demokratik menambah majoritinya, diselubungi dengan kes pembunuhan itu.

Tetapi Perdana Menteri Fumio Kishida dan beberapa ahli politik lain bertegas berkata pembunuhan mengejutkan itu tidak akan mengganggu proses demokrasi.

“Kita tidak boleh biarkan keganasan menekan kebebasan bersuara ketika pilihan raya, di mana ia menjadi asas demokrasi,” katanya semalam, ketika berkempen di seluruh negara.

Namun, beliau tetap mengambil masa menziarahi keluarga Abe di Tokyo dan memberikan penghormatan terakhir, ketika mayat Abe tiba dari hospital.

Pembunuhan pada Jumaat lalu menggemparkan negara itu dan dunia, mencetuskan simpati dari seluruh dunia, termasuk China dan Korea Selatan.

Lelaki dipercayai melakukan pembunuhan itu, Tetsuya Yamagami, 41, kini dalam tahanan dan memberitahu penyiasat dia menyasarkan Abe kerana percaya ahli politik itu ada kaitan dengan satu organisasi tidak dinamakan.

Media tempatan menyifatkan organisasi berkenaan ada kaitan dengan agama dan keluarga Yamagami mengalami masalah kewangan akibat sumbangan ibunya kepada kumpulan itu.

Abe sedang berkempen di wilayah barat Nara untuk calon partinya ketika Yamagami melepaskan tembakan. – AFP, 10 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen