PRESIDEN Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa mengumumkan peletakan jawatannya semalam, beberapa jam selepas penunjuk perasaan yang marah menghalaunya keluar dari kediamannya, selepas berbulan-bulan rakyat kecewa dengan krisis ekonomi yang tidak berkesudahan.
Ratusan ribu penunjuk perasaan berarak di Colombo, mendesak kerajaan bertanggungjawab kerana salah tadbir urus kewangan negara, dan menyebabkan bekalan makanan dan minyak terputus.
Selepas menyerbu pagar kediaman rasmi presiden, penunjuk perasaan merempuh ke semua bilik di rumah itu, malah ada yang terjun ke dalam kolam renang.
Beberapa yang lain ketawa dan melepak di bilik tidur kediaman itu, dengan ada yang membuat lawak memakai pakaian dalam didakwa milik Rajapaksa.
Pada masa sama, pemimpin itu dikatakan menaiki kapal tentera laut di pelabuhan Colombo dan dibawa ke sebuah pulau di selatan, di mana beliau akhirnya menerima desakan untuk meletakkan jawatan.
“Bagi memastikan peralihan kuasa yang aman, presiden berkata beliau akan meletak jawatan pada 13 Julai,” kata jurucakap Parlimen Mahinda Abeywardana dalam satu kenyataan disiarkan di televisyen.
Rajapaksa terpaksa dilarikan dari kediamannya oleh pasukan tentera yang melepaskan tembakan di udara bagi menyekat kemaraan orang ramai.
Tidak lama selepas menyerbu kediaman rasmi presiden, pejabat Rajapaksa juga dirempuh penunjuk perasaaan.
Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe yang mungkin menggantikan Rajapaksa mengadakan mesyuarat dengan pemimpin politik dan berkata sanggup meletak jawatan bagi memberi laluan kepada kerajaan perpaduan.
Tetapi ia tetap tidak mendamaikan penunjuk perasaan yang menyerbu ke rumah persendirian presiden dan membakarnya.
Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai bersorak melihat kebakaran itu, selepas beberapa pengawal keselamatan yang menjaga Wickremesinghe menyerang beberapa wartawan di luar rumahnya. – AFP, 10 Julai, 2022.
Komen