Tour de France: 2 pelumba UAE Team Emirates positif Covid-19


Pelumba UAE Team Emirates, Laengen Vegard disahkan positif Covid-19. Beliau menjadi pelumba kedua Tour de France dijangkiti Covid-19 selepas rakan sepasukannya Tadej Pogacar. – Gambar EPA, 9 Julai, 2022.

RAKAN sepasukan juara bertahan Tour de France, Tadej Pogacar disahkan positif Covid-19, dan pasukan itu kini berdepan kebimbangan untuk tempoh tiga hari bagi mengenal pasti sama ada anggota lain turut dijangkiti atau tidak.

Laengen Vegard, 33, dari Norway yang sering dilihat berada di depan untuk pasukan UAE Team Emirates ketika angin kencang dilaporkan jatuh sakit semalaman walaupun disahkan negatif pada pagi Khamis.

“Beliau melaporkan mengalami simptom sakit tekak lewat malam tadi,” kata doktor pasukan Adriano Rotunno.

“Ujian antigen adalah positif dan ia disahkan menerusi ujian PCR,” katanya.

Rotunno menyatakan kebimbangan virus itu mungkin merebak dalam pasukan.

“Kami percaya beliau dijangkiti oleh sumber luar, tiga hingga lima hari lalu, memberinya masa untuk menjangkiti ahli pasukan lain,” katanya di luar bas pasukan hari ini.

Namun, Rotunno juga mendedahkan langkah berjaga-jaga sudah diambil pasukan itu untuk mengelakkan jangkitan.

“Semua penunggang mempunyai bilik sendiri, biasanya mereka akan berkongsi. Mereka juga mempunyai tukang urut sendiri,” katanya.

Laengen terpaksa menarik diri daripada Tour of Slovenia bulan lalu selepas rakan sebiliknya Mikkel Bjerg disahkan positif.

Menjelang perlumbaan, Matteo Trentin, ahli penting pasukan, Pogacar juga menarik diri daripada perlumbaan susulan jangkitan Covid-19.

Pogacar mendahului perlumbaan dengan 31 saat daripada Jonas Vingegaard dengan pelumba Ineos, Geraint Thomas di tempat ketiga, lebih seminit di belakang. Namun, terdapat 14 peringkat lagi yang perlu ditempuhi. – AFP, 9 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen