KUMPULAN pelajar mendesak kerajaan menangani kenaikan harga makanan yang kini menghimpit golongan mahasiswa dengan penyelesaian lebih menyeluruh dan bersifat jangka masa panjang.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, harga makanan dan barang keperluan tetap mahal dan bantuan pihak universiti serta kesatuan pelajar sendiri masih tidak mencukupi.
Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif berkata bantuan disalurkan mereka terhad dan tidak mampu menampung permintaan sedia ada.
“Bantuan itu memang ada. Di UIAM kita ada bantuan kewangan, kemudian wakil dari pentadbiran, pensyarah dan kumpulan pelajar juga usahakan bantuan makanan percuma kepada pelajar.
“Namun ia masih tidak mencukupi kerana bantuan ini biasanya terhad memandangkan kita bergantung kepada sumbangan,” katanya.
Lebih utama lagi, kegagalan kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup ini menjejaskan jutaan ramai rakyat terutama golongan pertengahan dan B40, katanya.
“Sebab itu kita buat desakan kerana ia merupakan isu berlaku di peringkat nasional yang mempunyai kuasa menangani masalah ini,” kata Aliff.
Kerajaan pada awalnya menghapuskan harga siling untuk ayam dan telur serta subsidi untuk minyak masak yang dibungkus dalam botol bermula Julai.
Ketetapan itu kemudian ditarik balik selepas menerima kecaman meluas dari pelbagai peringkat masyarakat.
Antara ketetapan baharu dibuat, pembatalan apungan harga ayam dan mengehadkan harga siling pada kadar RM9.40 sekilogram.
Putrajaya juga akan mengekalkan subsidi untuk minyak masak 1kg dalam bungkusan polibeg.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hidangan ekonomi akan diperkenalkan di restoran koperasi, kafeteria serta di institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, hidangan kos rendah dengan harga siling RM3.50 itu antara lain akan membolehkan golongan siswa mengisi perut dengan kos RM20 sehari.
Mengulas langkah itu, Aliff berkata pelaksanaan tersebut juga hanya salah satu penyelesaian jangka masa pendek oleh kerajaan.
“Pada saya membantu tapi (seperti melekat) plaster pada luka besar sebab ia hanya penyelesaian jangka pendek,” katanya yang mendapati harga makanan ruji pelajar tetap naik.
Beliau berkata, mereka menuntut penjelasan lebih lanjut tentang program tersebut, terutama mengenai mutu dan khasiat yang disediakan dalam makanan dengan harga RM3.50 itu.
Mengulas lanjut beliau berkata dengan kenaikan barang ketika ini pelajar harus menerima memperuntukkan sekurang-kurangnya RM20 sehari untuk makanan.
Aliff berkata kenaikan harga makanan yang terlalu tinggi itu mula dirasai dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, paling ketara untuk hidangan nasi dan lauk.
“Kalau dulu pelajar boleh dapat makanan lauk campur seperti nasi, ayam atau ikan sayur dalam harga RM5 hingga RM6, tapi sekarang naik dalam RM7 atau RM8.
“Dan ini adalah makanan dalam universiti di kafeteria dan bukan di luar,” katanya yang bimbang kenaikan itu akan menjejaskan kesihatan fizikal dan mental pelajar dan menjejaskan pembelajaran.
Beliau berkata pelajar terutama di bandar utama dan Lembah Kelang terpaksa mencatu perbelanjaan di kampus untuk menghadapi kenaikan itu malah terpaksa melakukan dua tiga kerja sambilan.
Kumpulan siswa ini juga mengancam akan turun ke jalan lagi untuk memprotes kegagalan kerajaan menangani kenaikan harga barang keperluan kerana golongan pelajar juga amat terjejas.
Aliff berkata, protes akan diadakan sekiranya kerajaan masih tidak mengendahkan desakan mereka.
Sementara itu di Terengganu, wakil pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) berkata setakat ini mereka tidak merasai kesan kenaikan harga barang itu.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Muhammad Asfa Irfan Mohd Razi berkata mereka masih berjaya mendapatkan makanan lauk campur nasi, ayam dan sayur dengan harga RM4.50 ke RM5.
“Kita sedia maklum kenaikan harga makanan dirasai pelajar di Lembah Klang tadi di UniZa mungkin kerana kami di bandar kecil di Terengganu jadi kenaikan harga itu tak dirasai sangat.
“Lagi pun sekarang ada lagi pelajar yang masih belum masuk kolej,” katanya.
Namun beliau berkata bantuan tetap digerakkan, antaranya melalui inisiatif Food@campus dengan bantuan kewangan RM150 sebulan untuk keluarga dari kumpulan B40.
Muhammad Asfa berkata, seramai 2,175 pelajar menerima bantuan tersebut pada 2021 dan kini penerimanya berjumlah 489 siswa.
Tambahnya, bank makanan turut digerakkan untuk membolehkan pelajar mengambil makanan kering seperti biskut, roti, dan mi segera pada bila-bila masa.
“Kita tidak mengehadkan sumbangan cuma ia bergantung kepada stok sumbangan. Dan buat masa ini kita boleh katakan stok kita berkurangan sebenarnya.
“Kita nampak sumbangan berkurangan sejak peralihan endamik. Ia tidaklah sebanyak masa pandemik.
“Foodbank berkurangan, terutama selepas peralihan fasa endamik, memang kurang, tapi walau terhad kita cuba juga sedaya upaya untuk beri kepada memerlukan,” katanya.
Kumpulan siswa menyertai perhimpunan anak muda pada 2 Julai lalu dengan slogan #Turun di kawasan sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Perhimpunan itu antara lain menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan, menyediakan bantuan yang mencukupi kepada rakyat dan mengekalkan subsidi semasa.
Kumpulan disertai aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat itu juga mendesak agar subsidi lain tidak dikurangkan dan supaya bekalan dan harga makanan terjamin. – 10 Julai, 2022.
Komen