SEBUAH van jenazah yang membawa jasad bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe tiba di Tokyo, hari ini. Abe maut selepas ditembak dari jarak dekat semasa berkempen.
Pembunuhan ahli politik terkenal Jepun itu menggemparkan negara dan mencetuskan gelombang kejutan di seluruh dunia, memandangkan tahap jenayah kekerasan adalah rendah di negara tersebut malah undang-undang senjata api ketat.
Anggota kanan Parti Liberal Demokratik ketika pemerintahan Abe berbaris bagi memberi penghormatan terakhir ketika kenderaan itu, dipercayai membawa isterinya Akie Abe, memasuki kediaman pasangan itu di ibu negara.
Lelaki yang didakwa menembak Abe semalam berada dalam tahanan, sambil polis memaklumkan suspek mengaku membunuh bekas perdana menteri itu, didorong kepercayaan Abe dikaitkan dengan organisasi yang tidak dinyatakan.
Polis sedang menyiasat latar belakang penganggur berusia 41 tahun itu, termasuk dakwaan pernah berkhidmat dalam tentera laut Jepun. Menurut polis suspek kelihatan menggunakan pistol buatan tangan.
Insiden tembakan terbabit berlaku ketika Abe sedang menyampaikan ucapan di Nara menjelang pilihan raya dewan atasan, esok.
Bagaimanapun, kempen disambung semula dengan ahli politik berkata mereka bertekad untuk mempertahankan demokrasi.
“Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan keganasan menyekat ucapan semasa pilihan raya, yang merupakan asas demokrasi,” tulis Perdana Menteri Fumio Kishida di Twitter selepas berkempen di wilayah Yamanashi tengah Jepun.
“Saya percaya saya mempunyai tanggungjawab untuk menyempurnakan pemilihan House of Councillors ini dengan cara yang bebas, adil dan selamat.”
Media Jepun di acara kempen pertama Kishida sejak pembunuhan itu menggambarkan suasana tegang dan tahap keselamatan yang tinggi, dengan pagar besi dipasang untuk memisahkan pemimpin daripada orang ramai.
Menurut doktor Abe tidak menunjukkan sebarang tanda ketika tubuh mendiang tiba di hospital dan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak. – AFP, 9 Julai, 2022.
Komen