Iran tangkap tokoh reformis terkenal


Mostafa Tajzadeh ditahan kerana konspirasi mengancam keselamatan republik Islam itu, lapor media tempatan. – Gambar EPA, 9 Julai, 2022.

PIHAK berkuasa Iran menangkap ahli politik reformis Mostafa Tajzadeh pada Jumaat kerana “konspirasi untuk mengancam keselamatan negara”, lapor media tempatan.

Tajzadeh juga berhadapan tuduhan “menerbitkan pembohongan untuk mengganggu pendapat umum”, kata agensi berita Mehr, menambah yang “waran tangkapnya telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kehakiman”.

Tajzadeh, yang tahun lalu kalah berebut jawatan presiden, telah ditangkap pada 2009 semasa protes mempertikaikan pemilihan semula bekas presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Ahli politik reformis itu mengemukakan pencalonannya pada Mei 2021, setelah sekian lama berkempen untuk demokrasi dan “perubahan struktur” di republik Islam itu.

Beliau disabitkan pada 2010 atas tuduhan memudaratkan keselamatan negara dan propaganda terhadap negeri itu sebelum dibebaskan pada 2016 selepas menjalani hukuman.

Beribu-ribu telah ditahan semasa demonstrasi 2009 menentang pemilihan semula Ahmadinejad, yang ditandingi oleh pembangkang yang menyokong calon reformis yang tidak berjaya Mehdi Karoubi dan Mir Hossein Mousavi.

Sejak dibebaskan, Tajzadeh sering meminta pihak berkuasa membebaskan Mousavi dan Karoubi, yang telah berada di bawah tahanan rumah selama lebih sedekad atas protes itu.

Tajzadeh pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri semasa tempoh 1997-2005 bekas presiden reformis Mohammad Khatami. – AFP, 9 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen