Hasut kekacauan, 2 pembikin filem Iran ditangkap


Sekumpulan pembuat filem Iran diketuai Mohammad Rasoulof (kanan) telah menerbitkan surat terbuka menyeru pasukan keselamatan "meletakkan senjata" dalam menghadapi kemarahan terhadap "rasuah, kecurian, ketidakcekapan dan penindasan" berkait keruntuhan bangunan di Abadan, Iran. – Gambar EPA, 9 Julai, 2022.

PIHAK berkuasa Iran menahan dua pengarah filem kerana “menghasut kekacauan” susulan runtuhan maut sebuah bangunan di barat daya negara itu pada Mei, lapor media kerajaan pada Jumaat.

Pembikin filem yang menang anugerah Mohammad Rasoulof dan rakannya Mostafa Aleahmad telah ditahan atas kejadian berkaitan keruntuhan bangunan, yang mencetuskan protes kemarahan, lapor agensi berita IRNA.

“Di tengah-tengah insiden yang menyayat hati di Metropol Abadan, (pembikin filem itu) terlibat dalam mencetuskan kekacauan dan mengganggu keselamatan psikologi masyarakat,” kata IRNA.

Bangunan Metropol 10 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Abadan di barat daya wilayah Khuzestan runtuh pada 23 Mei, membunuh 43 orang dan mencetuskan protes kemarahan sebagai solidariti dengan keluarga mangsa.

Penunjuk perasaan menuntut “pegawai yang tidak cekap” yang bertanggungjawab atas tragedi itu didakwa dan dihukum, manakala ramai yang diserang dengan gas pemedih mata, tembakan amaran malah ada yang ditangkap polis.

Sekumpulan pembuat filem Iran yang diketuai Rasoulof menerbitkan surat terbuka yang menyeru pasukan keselamatan “meletakkan senjata” dalam menghadapi kemarahan terhadap “rasuah, kecurian, ketidakcekapan dan penindasan” berkait keruntuhan Abadan.

Rasoulof, 50, memenangi Golden Bear, hadiah utama festival filem Berlin, pada 2020 dengan filemnya “There Is No Evil” tetapi tidak dapat menerima hadiah itu secara peribadi kerana dilarang meninggalkan Iran.

Pasportnya telah dirampas selepas filemnya pada 2017 “A Man of Integrity” ditayangkan di Cannes, di mana ia memenangi hadiah utama dalam bahagian “Un Certain Regard” festival itu. – AFP, 9 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen