RUU antilompat parti dibentangkan 18 Julai, kata menteri


Desmond Davidson

Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin tiada lagi halangan terhadap RUU antilompat parti untuk bacaan kali kedua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2022.

RANG undang-undang (RUU) antilompat parti yang diperhalusi akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Julai, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata walaupun RUU itu sudah dibahaskan dan dibincangkan oleh jawatankuasa pemilih sejak September 2021, beliau masih memberi peluang dan masa mencukupi kepada ahli Parlimen untuk melihat, mencerna dan membuat ulasan lanjut mengenainya.

“RUU sudah siap. Saya bersedia. Ia akan dibentangkan. Saya beri peluang kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan lembu korban sempena Hari Raya Korban.

Wan Junaidi berkata beliau yakin tiada lagi halangan terhadap RUU yang mungkin dibacakan kali kedua pada 25 Julai ini.

Kelulusan RUU itu ditangguhkan selepas bacaan pertama pada 11 Mac kerana “semua orang tidak bersetuju dengan draf itu”.

“Skopnya terlalu luas (dan) memberi kerajaan terlalu banyak kuasa.”

Wan Junaidi berkata RUU itu “dianggap (telah) dibentangkan untuk bacaan pertamanya apabila kerajaan bertindak untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan - “peruntukan yang membolehkan untuk mewujudkan akta antilompat parti”.

Pindaan itu adalah untuk menyekat kebebasan berpersatuan wakil rakyat.

Beliau juga berkata memandangkan sidang Parlimen ketika itu akan berakhir dan notis 14 hari diperlukan untuk bersidang semula, Kabinet memutuskan untuk menyerahkan RUU itu kepada jawatankuasa pemilih untuk membuat pindaan.

Bagi menepis tuduhan yang RUU itu akan berpihak kepada kerajaan, Wan Junaidi menegaskan sebab itu jawatankuasa pemilih itu bersifat dwipartisan. – 9 Julai, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen