EU, Maghribi tingkat kerjasama tangani pemerdagangan manusia


Kemasukan ramai migran di Melilla berlaku selepas Madrid dan Rabat menormalisasikan hubungan diplomatik mereka berikutan krisis hampir setahun yang berpusat di wilayah Sahara Barat yang menjadi pertikaian. – Gambar EPA, 9 Julai, 2022.

KESATUAN Eropah (EU) dan Maghribi pada Jumaat berkata mereka akan meningkatkan kerjasama untuk memerangi penyeludupan manusia selepas sekurang-kurangnya 23 pendatang maut ketika cuba memasuki kawasan Melilla, Sepanyol.

Mereka adalah antara kira-kira 2,000 pendatang, kebanyakannya dari Sudan, yang cuba menembusi pagar sempadan bulan lalu, menurut pihak berkuasa Maghribi.

Ia setakat ini merupakan angka kematian terburuk yang direkodkan dalam beberapa tahun percubaan migran menyeberangi ke kawasan Ceuta dan Melilla Sepanyol, yang mempunyai satu-satunya sempadan darat EU dengan Afrika.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada masa itu menyalahkan “mafia pemerdagangan manusia”.

Pada mesyuarat Jumaat di Rabat, EU dan Maghribi “bersetuju memperbaharui perkongsian mereka untuk bekerjasama dalam menangani rangkaian penyeludupan manusia, khususnya berikutan kemunculan kaedah baru, sangat ganas, yang digunakan rangkaian jenayah seperti itu”, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Perjanjian itu dibuat semasa perbincangan antara Ylva Johansson, pesuruhjaya EU bagi hal ehwal dalam negeri, Menteri Dalam Negeri Sepanyol Fernando Grande-Marlaska dan Menteri Dalam Negeri Maghribi Abdelouafi Laftit.

“Ia menjadikan kaedah tradisional untuk memerangi penyeludupan manusia di bawah tekanan,” kata kenyataan itu.

“Perkongsian anti-penyeludupan operasi” baharu itu akan merangkumi bantuan pengurusan sempadan, kerjasama polis yang dipertingkatkan (termasuk penyiasatan bersama), peningkatan kesedaran tentang bahaya penghijrahan yang menyalahi undang-undang dan peningkatan kerjasama dengan agensi EU yang bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri”, tambah kenyataan itu. .

Tragedi 24 Jun itu mencetuskan kemarahan antarabangsa, termasuk tindak balas luar biasa kuat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan pembukaan penyiasatan oleh Sepanyol dan Maghribi.

Kumpulan bukan kerajaan memberikan angka kematian sekurang-kurangnya 37, lebih tinggi daripada angka rasmi.

Ramai yang lain cedera, termasuk 140 anggota pasukan keselamatan Maghribi dan sekitar 50 pegawai polis Sepanyol.

Maghribi mengkritik “tindakan keganasan luar biasa yang dirancang” oleh pendatang, manakala kumpulan hak asasi manusia mengecam apa yang disifatkan sebagai kekejaman oleh pasukan keselamatan Maghribi.

Kemasukan ramai migran di Melilla berlaku selepas Madrid dan Rabat menormalisasikan hubungan diplomatik mereka berikutan krisis hampir setahun yang berpusat di wilayah Sahara Barat yang menjadi pertikaian.

Bagi Sepanyol, objektif utama keamanan diplomatik adalah untuk memastikan kerjasama Maghribi dalam mengawal pendatang haram.

Grande-Marlaska mengulangi pada Jumaat yang Maghribi adalah rakan kongsi yang setia dan boleh dipercayai bagi Sepanyol dan EU. – AFP, 9 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen