PENGKAJI Islam, Annemarie Schimmel menyebut haji adalah titik sentral dalam kehidupan manusia rohani. Haji bukan hanya upacara ritual, tetapi mengenai soal makna batin (inner meaning)
Justeru, berangkat menunaikan haji manifestasi sebuah perjalanan jiwa yang menempuh pendakian rohani oleh seseorang menuju Tuhan.
Pemikir sufi Islam Syeikh Haidar Amuli dalam kitab Asrar al-sariʿa wa aṭwar al-ṭariqa wa anwar al-ḥaqiqa menyebut bahawa berhaji itu menuju kaabah “spiritual” atau jalan suluk.
Katanya, Baitullah memiliki dua dimensi. Pertama, dimensi afaq (makrokosmos) dan kedua, dimensi anfus (mikrokosmos).
Menurut pandangan Syeikh Haidar bahawa afaq merupakan hati “manusia besar” disebut sebagai letaknya di situ kaabah “rumah Allah” sebagai jiwa universal, baytul ma’mur dan hadrah al-Quds – jiwa suci, besar dan menyeluruh. Ia berada di puncak agung – alam rohani.
Manakala dimensi kedua iaitu anfus mikrokosmos yang menjadi hati “manusia kecil” disebut kedudukannya sebagai lebih rendah daripada manusia besar – al-nafs al-nathiqah al-juziyyah. Ia berada di bawah manusia besar – alam jasmani.
Perjalanan manusia rohani
Sudah tentu kiblat manusia rohani menuju jiwa universal. Kaabah sebagai manifestasi kebesaran Tuhan.
Oleh kerana itu, hakikat sebenar-benar makna haji adalah menghadap perjalanan rohani ke hati “manusia besar”.
Mereka mencapai iltizam sehingga melepaskan kehidupan duniawi yang sia-sia dan berihram menuju ke Baitullah serta tekad melepaskan diri daripada mengingati selain Allah.
Justeru, manusia rohani memandang kaabah sebagai kaabah rohani bukan sekadar jasmani.
Mereka menuju Baitullah pada dimensi alam rohani, kecintaan, kerinduan dan kejuhudan memperoleh kedekatan ilahi sebagaimana Nabi Ibrahim menjadi teman Tuhan (khalilullah) (Kashf al-Mahjub, 1957).
Kaabah dari pandang mata rohani satu-satunya “rumah pertama” yang diciptakan sebelum diciptakan rumah-rumah di atas bumi ini.
Ia wujud lebih awal di alam rohani berbanding penciptaan kaabah pada alam jasmani berupa fizikal. Penciptaannya muncul di atas air dan segala isi permukaan bumi.
Kerana itu seseorang yang menempuh puncak keimanan tertinggi akan berada di alam jiwa universal (manusia besar) yang lebih tinggi dari jiwa-jiwa oleh manusia kecil.
Disebut dalam al-Quran: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali Imran 3:96)
Maka jelaslah, sebelum segala penciptaan di langit dan di bumi itu, telah wujud lebih awal penciptaan di atas arasy yang disebutkan penciptaan alam rohani – akal dan jiwa.
Maka penciptaan alam (jasmani) di bumi ini semestinya dari hubungan alam rohani. Adanya kesesuaian alam universal (makrokosmos) dan jiwa manusia kecil (mikrokosmos) yang akhirnya menjadikan jiwa universal sebagai model atau cerminan penciptaan kepada manifestasi Yang Maha Agung.
Namun, alam jasmani (mikrokosmos) menjadi tempat mewujudkan, merasai dan menikmati akan hadirnya cahaya wujud Tuhan.
Ia dirasai dengan melalui penyingkapan, musyahadah, kasyaf dan ilham dari Tuhan ke dalam jiwa universal supaya dapat mengenali-Nya. Tidak jadikan Tuhan makhluk-Nya tanpa sia-sia melainkan mengenali kepadaNya.
Demikian, pendakian rohani menuju Baitulllah yang hakiki dan dibukakan hijab melihat Kaabah “rumah Allah” secara rohani.
Ia tidak terjadi tanpa adanya penyatuan dari jiwa manusia kecil yang memanifestasikan dan meleburkan dirinya menjadi manusia akbar sekali gus menempuh perjalanan paling agung ke dalam jiwa universal – manusia besar.
Pesan universal Tuhan
Haji perjalanan hidayah. Manifestasi nilai-nilai kebaikan pada wujud Tuhan. Perjalanan memasuki relung cahaya paling agung. Penyingkapan batin dari pancaran (Faydhan) bagi menyingkapi tanda-tanda kebesaran-Nya.
Justeru, melalui perantaraan jiwa universal ini, seseorang salik mencapai maqam tauhid hakiki. Sama ada ia menyedari atau tidak, pilihan Maha Agung.
Kerana itu tuntutan haji menjadi manusia rohani. Malangnya, tidak semua dapat menempuh pengalaman kerohanian. Bahkan manusia awam yang paling banyak pergi haji itu sekadar menempuh jalan Tuhan.
Sebaliknya manusia “khusus” adalah manusia rohani bersama-sama jiwa universal bukan sahaja menempuh jalan, tetapi menyaksikan wajah Tuhan.
Mereka mengunjungi dan menyingkapi rahsia disebalik Kaabah rohani serta mengambil manfaat daripada makrifat-Nya – pesan universal.
Pengalaman rohani mereka bukan sahaja berihram dan bermalam di Arafah, sebaliknya dibukakan mata hati mereka supaya benar-benar menginsafi berihram sebagai tunduk dan patuh tanda kita semua di hadapan Allah adalah sama.
Ia membuang segala ego dan kesombongan atas ras dan sosial. Begitulah, haji menyedarkan manusia betapa pentingnya pulang dengan membawa pesan rahmat, kasih dan damai.
Melalui penyingkapan kerahsiaan kaabah, bukan sahaja menginsafi bahawa nilai-nilai ketakwaan satu-satunya dinilai di pandangan Tuhan, lebih mustahak mereka pulang dengan membawa nilai-nilai manusiawi dalam kehidupan beragama yang toleransi, dan memartabatkan kemanusiaan berlandaskan perinsip keadilan.
Ibadah haji refleksi nilai-nilai moral ilahi kepada nilai-nilai insani dalam kehidupan sosial.
Bagi seorang Muslim, perjalanan kerohanian haji dapat memuhasabahkan diri. Mereka pulang dengan jiwa universal dan harus membaiki kehidupan menjadi lebih baik di masa hadapan. Bukan menutup mata atas persoalan-persoalan kemanusiaan.
Demikian, haji panggilan bersifat universal, ia panggilan bersifat kemanusiaan daripada Allah kepada hambaNya.
Bukan sekadar melengkapkan rukun Islam. – 9 Julai, 2022.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen