INDIVIDU ke-4 ditahan sebagai sebahagian daripada penyiasatan pembunuhan wartawan Britain, Dom Phillips dan pakar Orang Asli Brazil, Bruno Pereira bulan lalu di Amazon, kata pihak berkuasa pada Jumaat.
Lelaki itu menyerah diri kepada polis untuk menafikan dakwaan dalam akhbar yang beliau mungkin mengarahkan pembunuhan itu, kata ketua polis Eduardo Fontes dari negeri Amazonas kepada pemberita.
Beliau ditahan kerana didakwa mengemukakan dokumen pengenalan diri palsu.
Fontes berkata lelaki itu, dikenali sebagai “Colombia,” memberitahu polis yang beliau membeli barangan daripada nelayan di kawasan di mana pembunuhan itu berlaku.
Beliau berkata seorang pembekalnya ialah Amarildo da Costa de Oliveira, dikenali sebagai “Pelado,” yang ditahan selepas mengaku terbabit jenayah itu.
Phillips, 57, dan Pereira, 41, ditembak mati ketika pulang dari ekspedisi di kawasan terpencil di hutan yang terbabit pengedaran dadah, perlombongan emas haram dan memancing.
Phillips, pengarang puluhan artikel di Amazon dan penyumbang akhbar The Guardian dan organisasi berita utama lain, sedang melancong ke Lembah Javari sebagai sebahagian daripada penyelidikan untuk buku yang akan datang.
Pereira berkhidmat sebagai penunjuk arahnya, dan sebelum ini pernah mengembara bersamanya ke kawasan itu.
Seorang aktivis hak Orang Asli yang lantang, Pereira menerima pelbagai ancaman bunuh sebelum kematiannya.
Polis sedang menyiasat kemungkinan kaitan dengan penangkapan ikan secara haram di tanah penduduk asli yang dilindungi sebagai motif pembunuhan itu.
“Kami sedang menyiasat sama ada individu dikenali sebagai ‘Colombia’ ... menyertai mana-mana aktiviti penangkapan ikan haram, sama ada beliau membiayai aktiviti itu,” kata Fontes, sambil menambah lelaki itu menafikan sebarang penglibatan.
“Kami tidak tahu apakah identiti sebenar beliau,” tambah Fontes.
Lelaki itu mempunyai dokumen dari Brazil, Colombia dan Peru, dengan semua nama berbeza, katanya.
Tiga lelaki ditahan atas pembunuhan itu dan lima lagi dituduh membantu membuang mayat, yang ditemui 10 hari selepas kedua-duanya hilang. – AFP, 9 Julai, 2022.
Komen