MALAYSIA tidak akan mengenakan sekatan pergerakan yang boleh menjejaskan kesejahteraan orang ramai dan ekonomi negara, kata Khairy Jamaluddin hari ini.
Menteri Kesihatan berkata memandangkan krisis ekonomi semasa, Malaysia tidak mampu melakukan sekatan semula.
“Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menjelaskan bahawa kita tidak akan mempunyai satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan ekonomi rakyat kita.
“Lebih-lebih lagi, kita sedang menghadapi cabaran ekonomi yang sangat teruk, disebabkan oleh faktor global,” kata Khairy dalam sidang media hari ini.
Khairy hari ini berkata bahawa Malaysia telah mengesan subvarian Omicron BA.5 yang sangat mudah berjangkit, yang didakwanya boleh merebak secara meluas dan menyebabkan kes meningkat.
Beliau berkata bahawa sub varian Omicron yang baru dikesan ini boleh mencetuskan gelombang jangkitan baharu.
Khairy berkata dengan langkah berjaga-jaga yang sedia ada, Malaysia boleh mengelak satu lagi perintah berkurung.
“Kita ada semua langkah berjaga-jaga, vaksin, ubat antivirus dan juga langkah kesihatan lain.
“Saya percaya dengan semua langkah ini, insya-Allah, Malaysia sekali lagi akan dapat mengharungi dan mengatasi gelombang baharu jangkitan Covid-19 ini.
“Jadi, marilah kita semua hindar daripada jangkitan Covid-19 dan keluar daripada gelombang ini dengan selamat,” katanya. – 8 Julai, 2022.
Komen