Haramkan saja beg plastik, gesa aktivis alam sekitar


Nabihah Hamid

Aktivis alam sekitar menggesa kerajaan mencontohi negara lain yang menguatkuasakan penggunaan beg kertas berbanding plastik bagi mengatasi pencemaran alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2018.

AKTIVIS alam sekitar mencadangkan lebih baik kerajaan negeri Selangor mengharamkan saja penggunaan beg plastik daripada mengenakan caj 20 sen kepada pengguna seperti sekarang.

Presiden NGO EcoKnights, Yasmin Ras berkata pihak berkuasa perlu mengambil langkah lebih berkesan untuk memastikan kesan buruk penggunaan beg plastik kepada alam sekitar dapat ditangani dengan lebih wajar.

“Isu beg plastik, pendidikan amat penting. Negara kita sebenarnya sudah bertolak ansur mengenai penggunaannya. Tetapi realitinya kita kena ikut trend, seperti di Amerika Syarikat yang hampir separuh negeri-negerinya sudah haramkan. Di India (New Delhi) juga sudah diharamkan.

“Ia sepatutnya diharamkan kerana memudaratkan alam sekitar. Lagipun sudah banyak kajian menunjuk kesan beg plastik kepada alam sekitar dan kesihatan alam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Barisan Nasional (BN) Selangor mahu memansuhkan caj 20 sen bagi beg plastik di negeri itu, sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Kita mahu ahli politik beritahu apa agenda hijau mereka. Kita tidak mahu ahli politik yang mahu memperbanyakkan beg plastik,” katanya lagi.

Menurut Penyata Jawatankuasa Negeri Selangor pada Februari 2017 berkaitan “Polisi Bebas Plastik dan Polistirena Selangor”, caj 20 sen dianggap tidak selari dengan kempen “bebas plastik”.

Jawatankuasa itu turut mendapati rakyat tidak tahu bagaimana caj 20 sen digunakan dan beranggapan ia memberi keuntungan kepada peniaga.

Kerajaan negeri juga tiada kuasa dalam akta perundangan untuk mewajibkan peniaga memasukkan caj 20 sen ke dalam tabung khas alam sekitar dan hanya boleh menggalakkan peniaga berbuat sedemikian.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dalam maklum balasnya berkata akan meneliti cadangan jawatankuasa tersebut supaya diwujudkan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) setelah kajian kesedaran pengguna dan penjagaan alam sekitar terhadap penerimaan kempen tanpa beg plastik selesai.

Caj 20 sen yang dikenakan oleh kerajaan Selangor bagi penggunaan beg plastik dilihat tidak begitu berkesan dalam membangkitkan kesedaran kepada masyarakat terhadap kesan buruknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2018.

Justeru, Yasmin menggesa satu laporan KPI disediakan bagi mengenal pasti kesan kempen dan caj 20 sen kepada rakyat Selangor.

“Saya tak nampak (kesan) sebab kita tak peka apakah ada laporan mengenainya? Kita mesti ada KPI, sekurang-kurangnya jangka masa laksana dan awasi penguatkuasaannya.

Seorang lagi aktivis alam sekitar, Amlir Ayat juga senada melihat tahap kesedaran masyarakat masih cetek dan kempen mengenainya perlu dipertingkatkan.

“Caj 20 sen bukanlah isu sangat jika dibanding dengan kesan buruk hendak lupuskan plastik beratus tahun. Tetapi masalah yang lebih ketara ialah pendidikan rakyat mengenainya perlu lebih kerap diadakan.

“Rakyat Malaysia ini jangan kata beg plastik, sampah pun masih buang merata-rata. Jadi kita kena berbincang dan kaji semula bagaimana hendak selesaikan. Mentaliti kesedaran rakyat masih rendah.

“Penguatkuasaan mungkin kesannya cepat tetapi ia tidak tahan lama kerana tidak mendidik. Pendidikan itu amat penting untuk jangka masa panjang,” kata kepada The Malaysian Insight.

Isu penggunaan beg plastik di Selangor berbangkit semula apabila pemimpin BN negeri itu berjanji caj berkenaan akan dimansuhkan sekiranya parti itu kembali menawan Selangor pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, pimpinan Pakatan Harapan Selangor mengecam kenyataan yang bersifat populis itu yang tidak mementingkan kesannya terhadap alam sekitar.

Exco Negeri Selangor, Elizabeth Wong berkata undi rakyat Selangor bukannya semurah 20 sen sehingga boleh terpengaruh dengan janji BN itu.

Katanya, tawaran BN Selangor itu juga menunjukkan parti itu sudah ketandusan idea untuk menarik sokongan pengundi selepas kehilangan negeri itu sejak 2008.

“Rakyat Selangor rakyat yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak mudah terpengaruh dengan sogokan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

“Pembangkang Umno/BN Selangor terus menghina kebijaksanaan rakyat negeri dengan janji-janji yang regresif dan mengarut. Mereka menganggap undi anak-anak Selangor boleh dibeli semurah 20 sen,” kata Elizabeth. – 21 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen



  • Berita

    Seksyen

    "Haramkan saja beg plastik, gesa aktivis alam sekitar"

    Aktivis alam sekitar nih.nampam saja cerdik tp bengong..jika anda mahu mengharankam beg plastik.bagi cadangan alternatif apa ya g boleh menggantikan beg plastik..beg kertas juga merosakkam alam sekitar kerana kertas dibuat dr pokok..dan penebangan pokok secara berlekuasa merrosakkan alam sekitar.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan