Shinzo Abe meninggal dunia, lapor NHK


Bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe meninggal dunia selepas ditembak di dada serta luka di tengkuk.– Gambar EPA, 8 Julai, 2022.

BEKAS perdana menteri Jepun Shinzo Abe, yang ditembak di pagi tadi, meninggal dunia di hospital selepas tidak sedarkan diri, lapor NHK.

Abe ditembak dua kali semasa berucap dalam satu kempen pilihan raya di Nara dalam kejadian lebih kurang 11.30 pagi waktu tempatan.

Beliau sempat diberikan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan berdarah.

Dua das tembakan dapat didengar daripada rakaman video kejadian. Penembaknya kelihatan menggunakan senjata buatan sendiri.

Abe ditembak di dada serta luka di tengkuk.

Lelaki yang disyaki menyerang Abe,Tetsuya Yamagami, ditahan polis. Lelaki dengan nama sama pernah berkhidmat dengan tentera laut, lapor media di Jepun memetik Kementerian Pertahanan.

Abe, 67, merupakan perdana menteri Jepun paling lama dan berkhidmat dua kali antara 2006 dan 2007 serta 2012 dan 2020.

Abe adalah pemimpin de facto Parti Demokratik Liberal dan masih kuat pengaruhnya dalam kerajaan biarpun selepas letak jawatan hampir dua tahun lalu.

Pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengecam serangan ke atas Abe. – 8 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen