KKM pertimbang kompaun individu tak pakai pelitup muka di premis tertutup


Ravin Palanisamy

KKM mungkin akan melaksanakan semula penguatkuasaan undang-undang pemakaian pelitup muka di premis tertutup jika kes Covid-19 naik mendadak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mungkin akan menguatkuasakan semula Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada individu yang enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 jika kes naik mendadak, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan berkata langkah itu ekoran orang ramai kini dilihat sudah mula mengabaikan pemakaian pelitup muka walaupun di kawasan tertutup.

“Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pemakaian pelitup muka di premis tertutup masih lagi wajib.

“Cuma sejak 17 April KKM sudah tidak lagi keluarkan notis kompaun sebab KKM pada waktu itu telah buat keputusan selari dengan fasa peralihan ke endemik kita lebih kepada pemerkasaan komuniti dan tanggungjawab individu, bukan pemerkasaan undang-undang.

“Namun sekiranya kes terus meningkat mendadak KKM tidak menolak untuk menguatkuasakan semula Akta 342 terutamanya kepada mereka yang enggan memakai pelitup muka di kawasan tertutup,” katanya pada sidang media hari ini.

Di bawah Akta 342 mana-mana individu yang tidak memakai pelitup muka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Kata Khairy lagi, kini hanya KKM yang boleh mengeluarkan notis kompaun selepas banyak agensi digugurkan daripada penguatkuasaan Akta 342.

“Sekarang, sumber kuat kuasa terbatas kerana hanya KKM. Saya pun tak nak keluarkan notis kompaun lagi.

“Saya harap tidak perlu untuk kita sampai ke tahap itu,” katanya,” katanya. – 8 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen