PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) seeloknya diadakan selepas pembentangan bajet 2023 pada Oktober ini, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Mengulangi pendirian sebelum ini, Hadi berkata pada dasarnya PAS mahu PRU15 diadakan selepas habis penggal memandangkan ketidaktentuan krisis ekonomi yang dialami negara.
Namun beliau berkata PRU15 boleh diawalkan sekiranya dalam keadaan terdesak.
“Sehingga hari ini kita masih berpegang sampai habis tempoh, tetapi jika keadaan terdesak boleh dibuat bila- bila masa.
“Pada saya wajar diadakan selepas bajet, itu waktu sesuai,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah paginya di Marang, Terengganu.
Hadi sebelum ini membantah PRU15 diadakan awal dan mahu kerajaan sedia ada diberi peluang memerintah sehingga habis penggal.
Menurutnya ketika itu, tiada keperluan mengadakan PRU15 secara terburu-buru ekoran krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.
Beliau juga mengumumkan DUN di tiga negeri dikuasai PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sekiranya PRU15 diadakan lebih awal.
Namun pada minggu lepas, ahli Parlimen Marang itu berkata PRU15 wajar disegerakan untuk memastikan kestabilan kerajaan.
Menurutnya, ia perlu disegerakan walau PAS pada awalnya mahu kerajaan persekutuan yang disertai parti itu kekal sehingga akhir penggal. – 8 Julai, 2022.
Komen