PAS kini berunding untuk menggunakan logo baharu dalam pilihan raya umum akan datang bagi menggantikan lambang Perikatan Nasional (PN), kata presiden parti Islam itu Abdul Hadi Awang.
Ketika ditanya, ahli Parlimen Marang itu berkata PAS bercadang menggunakan lambang sendiri tetapi enggan menyebut sama akan menggunakan logo parti Islam tersebut.
“Kita bincang nak ubah logo. Ini kita bincang dalam parti nak buat simbol baharu yang sesuai. Kita tak guna bendera dulu (PN) seperti semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.
“Kita guna bendera sendiri tapi kita masih lagi dalam perbincangan. Tak tahu lagi bila akan diputuskan sebab pilihan raya lambat lagi,” katanya kepada pemberita di Marang, Terengganu.
Beliau mengulas kenyataan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mendakwa parti dalam PN akan menggunakan lambang parti semula dalam PRU15.
Hadi pada minggu lepas menolak cadangan dari pemimpin PAS untuk menggunakan lambang bulatan putih dengan latar belakang hijau yang sudah dikenali ramai.
Penganalisis melihat peluang PAS lebih cerah di Kedah, Terengganu dan Kelantan kerana logo digelar lambang bulan itu sudah sinonim dengan parti Islam itu.
Hal ini kerana PAS hanya menang satu dari 23 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor dengan menggunakan lambang PN. – 8 Julai, 2022.
Komen