PIHAK berkuasa India merampas 4.65 bilion rupee (AS$58.7 juta) membabitkan 119 akaun bank peniaga tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengeluar telefon pintar Vivo, sebagai sebahagian siasatan berhubung pengubahan wang haram.
Pihak berkuasa agensi penyiasatan jenayah ekonomi dalam satu kenyataan memaklumkan pihak menjalankan siasatan di 48 lokasi milik Vivo Mobiles India Private Limited dan 23 syarikat bersekutunya.
Selain duit dalam akaun bank, dua kilogram jongkong emas dan tunai bernilai 7.3 juta rupee turut dirampas sejak siasatan dilancarkan pada Februari lalu.
Vivo India menghantar hampir 50% daripada perolehannya keluar dari India, terutamanya ke China, menurut agensi India itu.
“Kiriman wang ini dibuat untuk menunjukkan syarikat yang diperbadankan itu mengalami kerugian besar bagi mengelak pembayaran cukai di India,” dakwa agensi itu.
Kedutaan China di New Delhi sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai serbuan ke atas Vivo India dan menyifatkan siasatan yang sering dibuat ke atas perusahaan China mengganggu aktiviti perniagaan dan menjejaskan keyakinan untuk melabur serta beroperasi di India. – Bernama, 8 Julai, 2022.
Komen