Boris Johnson didakwa pertahan jawatan demi majlis kahwin


Boris Johnson dan isterinya Carrie berkahwin pada satu majlis rahsia di London pada Mei 2021 dengan menjemput 30 tetamu saja hadir parti ala taman di Downing Street berikutan sekatan Covid. – Gambar AFP, 8 Julai, 2022.

SELEPAS mengubah suai rumah mereka di Downing Street dengan citarasa mewah, Perdana Menteri Boris Johnson dan isterinya Carrie kini berisiko menjadi gelandangan – dan berdepan dengan isu mencari lokasi baharu untuk majlis perkahwinan mereka.

Pasangan itu berkahwin pada satu majlis rahsia di London pada Mei 2021 dengan menjemput 30 tetamu saja hadir parti ala taman di Downing Street berikutan sekatan Covid.

Mereka merancang majlis resepsi lebih glamor di Chequers, iaitu rumah rehat perdana menteri di barat daya London, pada 30 Julai.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya semalam, Johnson berkata beliau akan memegang jawatan itu hingga pemimpin baharu Konservatif dipilih dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kemungkinan pada Oktober.

Tetapi Daily Mirror, Guardian dan media lain melaporkan tempoh masa itu ada kaitan dengan hasratnya untuk tidak kehilangan faedah sebagai perdana menteri untuk menggunakan Chequers, dan dakwaan mengatakan jemputan sudah pun dihantar kepada tetamu.

Pengkritik berkata Johnson terlalu memikirkan rumah rehat di kawasan pinggir bandar sejak abad ke-16 itu, hinggakan ketika menyampaikan ucapan peletakan jawatan, beliau tersasul apabila mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Chequers.

“Walaupun kita mahu menyaksikan perkahwinan mewah menggunakan duit pembayar cukai di Chequers, beliau tidak akan boleh berbuat demikian kerana masyarakat Britain meluat melihatnya,” kata Datuk Bandar London Sadiq Khan.

Chequers menarik perhatian baru-baru ini susulan dakwaan Johnsons mahu membina rumah atas pokok dengan kos AS$180,000 untuk anaknya berusia dua tahun, Wilf.

Johnson pada masa ini sedang mencari kediaman baharu. Mereka mempunyai dua hartanah bersama, tetapi salah satunya ialah pangsapuri kecil di London, dan kedua-duanya sudah disewakan. – AFP, 8 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen