Bunuh George Floyd, bekas polis dipenjara 20 tahun


Derek Chauvin, bekas polis Minneapolis yang disabitkan bersalah membunuh George Floyd, dijatuhi hukuman penjara lebih 20 tahun semalam. – Gambar AFP, 8 Julai, 2022.

DEREK Chauvin, bekas polis Minneapolis yang disabitkan bersalah membunuh George Floyd, dijatuhi hukuman penjara lebih 20 tahun semalam.

Chauvin, lelaki kulit putih, megaku bersalah pada Disember 2021 atas tuduhan melanggar hak asasi Floyd, 46, seorang lelaki kulit hitam, ketika ditahan pada Mei 2020 kerana didakwa menggunakan wang palsu AS$20 untuk membeli rokok.

Chauvin sedang menjalani hukuman penjara 22 tahun setengah atas sabitan membunuh, yang mencetuskan protes terhadap ketidakadilan kaum dan keganasan polis di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Hukuman negeri dan persekutuan akan berjalan serentak tetapi Chauvin, 46, akan dibenarkan menjalani hukuman itu di penjara persekutuan, bukan di Minnesota di mana dia ditahan dalam kurungan sendirian.

Pendakwa persekutuan pada awalnya memohon hukuman penjara 25 tahun atas alasan tertuduh tahu apa yang dilakukannya itu salah dan dia tetap buat, kata Timbalan Pendakwa Raya LeeAnn Bell.

“Saya betul-betul tidak tahu kenapa anda buat apa yang anda buat,” kata Hakim Mahkamah Negeri Paul Magnuson ketika membacakan penghakimannya.

“Tetapi untuk letak lutut anda di atas leher orang lain hingga mereka mati, itu salah,” katanya.

Chauvin berkhidmat 19 tahun dalam pasukan polis, dan tindakannya terhadap Floyd dirakamkan dan video itu tular, di mana dia meletakkan lututnya di atas leher Floyd selama hampir 10 minit, hingga mangsa pengsan dan maut.

Chauvin bercakap ringkas sebelum hukuman dijatuhkan tetapi dia tidak memohon maaf atas perbuatannya itu.

Bercakap kepada anak Floyd, dia berkata:”Semoga maju jaya dalam hidup dan mendapat bimbingan cemerlang dalam menjadi orang dewasa yang hebat.” – AFP, 8 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen