PM UK letak jawatan selepas huru-hara kabinet


Boris Johnson selepas membuat pengumuman letak jawatannya sebagai perdana menteri United Kingdom, susulan berpuluh menteri berundur dari kabinetnya. – Gambar EPA, 7 Julai, 2022.

BORIS Johnson meletak jawatan pada Khamis sebagai ketua Parti Konservatif Britain, membuka jalan kepada pemilihan perdana menteri baharu.

TIndakan itu dibuat selepas berpuluh-puluh menteri keluar daripada kerajaannya dalam tempoh 48 jam lepas.

“Ia jelas kehendak parti Konservatif parlimen perlu ada pemimpin baharu parti, dan oleh itu perdana menteri baharu,” kata Johnson di luar 10 Downing Street.

Pemilihan kepimpinan parti itu akan diumumkan minggu depan, katanya, selepas tiga tahun bergolak memegang jawatan dengan isu Brexit, pandemik Covid serta kontroversi tanpa henti mengenai reputasinya kerana penipuan.

Johnson, 58, berkata beliau akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pengganti ditemui.

Beliau telah berjuang keras menentang pemberontakan kabinet dan berkata beliau “sedih… kerana melepaskan pekerjaan terbaik di dunia.

“Dan izinkan saya katakan sekarang, kepada rakyat Ukraine, saya tahu yang kami di United Kingdom akan terus menyokong perjuangan anda untuk kebebasan selama mana yang diperlukan,” tambahnya dalam ucapan enam minitnya.

Presiden Ukraine mengucapkan terima kasih kepada Johnson atas sokongannya ketika “detik paling sukar”.

Beberapa sekutu Johnson dalam partinya berdiri bersebelahan di samping isteri Carrie yang membawa bayi perempuan mereka Romy.

Pemilihan kepimpinan Konservatif akan berlangsung pada musim panas dan pemenang akan menggantikan Johnson dengan persidangan tahunan parti pada awal Oktober, lapor BBC dan lain-lain. – AFP, 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen