KKM beri kelulusan bersyarat rawat Covid-19 guna Veklury


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Veklury akan digunakan untuk kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan telah memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi serbuk suntikan terliofilisasi Veklury (Remdesivir) bagi merawat pesakit Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa Veklury akan digunakan untuk kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas.

“Veklury ditunjukkan untuk rawatan Covid-19 pada pesakit dewasa dan kanak-kanak (berumur 12 tahun ke atas dan berat sekurang-kurangnya 40 kg).

“Ia juga akan diberikan kepada pesakit yang dirawat di hospital dan bukan di hospital, yang menghidap Covid-19 ringan hingga sederhana, serta berisiko tinggi untuk mendapat Covid-19 yang teruk, termasuk kemasukan ke hospital atau kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, Veklury tidak digunakan sebagai pengganti vaksinasi Covid-19 dan langkah kesihatan awam, terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Sebelum ini dilaporkan bahawa Veklury adalah rawatan pertama dan satu-satunya yang diluluskan untuk pesakit kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang mempunyai Covid-19.

Katanya, kelulusan pendaftaran bersyarat memerlukan maklumat mengenai kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk anti-virus dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa.

KP kesihatan berkata, kementerian akan terus komited untuk meningkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan Covid-19 di negara ini dengan memastikan ia dinilai sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Sebelum ini, kerajaan menggunakan ubat antivirus oral, Paxlovid, untuk rawatan virus.

Penggunaannya kemudian dikembangkan ke hospital swasta. – 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen