Inflasi melonjak tinggi, Sri Lanka naik kadar faedah


Ratusan beca beratur panjang di Colombo, Sri Lanka ketika negara itu dilanda krisis ekonomi, makanan, tenaga yang dahsyat. Bank pusat negara itu hari ini mengumumkan kenaikan kadar faedah selepas inflasi negara meningkat bulan lepas. – Gambar AFP, 7 Julai, 2022.

SRI LANKA yang muflis menaikkan kadar faedah satu mata peratus pada Jumaat, kenaikan mendadak kedua dalam tiga bulan, ketika bank pusat memberi amaran tentang inflasi 80 peratus dan kemelesetan yang sangat dahsyat.

Bank Pusat Sri Lanka menaikkan kadar penanda aras deposit dan pinjaman masing-masing kepada 14.5 peratus dan 15.5 peratus, selepas data menunjukkan inflasi melonjak kepada 54.6 peratus bulan lepas.

Pegawai berkata kenaikan itu bertujuan untuk membendung harga, yang diramalkan meningkat 80 peratus menjelang akhir tahun, dan mengurangkan sebarang peningkatan tekanan permintaan dalam ekonomi yang sedang hancur.

Kekurangan makanan dan bahan api yang melampau, di samping pemadaman elektrik berpanjangan, telah menyebabkan berbulan-bulan demonstrasi antikerajaan yang meluas yang menggesa Presiden Gotabaya Rajapaksa meletakkan jawatan.

Bank pusat itu berkata ekonomi boleh mengalami kemelesetan tahun ini, setelah berkembang 3.7 peratus tahun lepas dan menguncup 3.6 peratus pada 2020.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe memberitahu Parlimen ekonomi boleh menyusut sebanyak 7.0 peratus.

Bank itu berkata aktiviti ekonomi pada suku kedua tahun ini telah terjejas teruk akibat kekurangan bekalan elektrik dan bahan api, manakala semua pejabat dan sekolah yang tidak penting telah diarah tutup dalam usaha untuk mengurangkan perjalanan dan menjimatkan tenaga yang terhad.

Negara kepulauan itu secara rasmi kehabisan petrol dan diesel, manakala bekalan segar tinggal sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi.

Kerajaan gagal membayar hutang asing AS$51 bilion pada April dan sedang berunding bailout dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bank pusat Sri Lanka berkata rundingan juga sedang dijalankan dengan beberapa rakan dua hala dan pelbagai hala. – AFP, 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen