Teknologi China bantu pacu ekonomi digital Afrika


Perkembangan pesat e-dagang di Afrika tidak dapat dipisahkan daripada penubuhan pelbagai platform e-dagang. – Gambar AFP, 7 Julai, 2022.

SEKTOR ekonomi digital di benua Afrika menyaksikan pertumbuhan pesat, didorong inisiatif kerajaan negara berkenaan di samping bantuan teknologi China. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi digital muncul sebagai bidang baharu yang diterokai bersama China dan Afrika, manakala transformasi digital sedia maklum menjadi keutamaan Agenda 2063 Kesatuan Afrika (AU).

Pertumbuhan benua itu turut dipacu tindakan China menyediakan sokongan teknologi membabitkan pembayaran secara mudah alih, e-dagang, keusahawanan digital dan pemupukan bakat cemerlang dalam bidang digital.

Perkembangan pesat e-dagang di Afrika tidak dapat dipisahkan daripada penubuhan pelbagai platform e-dagang. 

Ia termasuk satu platform diasaskan warga China yang berjaya mengembangkan sayap perniagaan dengan menguasai lebih 50% bahagian pasaran di Afrika Timur mencakupi lebih 10 juta pengguna.

Pengusaha e-dagang, Lu Xiaoyong berkata platform kendaliannya menghimpunkan produk yang pelbagai dan kira-kira 80% daripadanya tidak boleh diakses di luar talian.

“Ia meningkatkan taraf hidup warga Afrika. Selain itu, kami juga menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam operasi huluan dan hiliran platform berkenaan membabitkan seramai 10,000 belia,” kata Lu. 

Seiring dengan penaiktarafan kerjasama China-Afrika, potensi ‘Internet +’ dan inovasi digital bakal membawa pelbagai limpahan manfaat kepada rakyat benua berkenaan. – Bernama, 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen