MEMANDANGKAN kes Covid-19 mencecah angka 3,000 buat kali pertama dalam tempoh dua bulan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan menjelang Hari Raya Aidiladha ini.
Beliau berkata Hari Raya Aidilfitri pada awal Mei lalu menyaksikan kes naik susulan peningkatan pergerakan orang ramai dan aktiviti berkumpulan.
Justeru, Khairy menggesa semua orang supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah keselamatan yang perlu apabila pulang ke kampung masing-masing.
“Hari Raya Aidilfitri yang lalu menyaksikan bilangan kes harian melonjak kepada 3,410 kes pada 12 Mei 2022. Ini antara lain berpunca daripada peningkatan kadar pergerakan dalam masyarakat dan aktiviti perkumpulan ramai.
“Jadi, menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha ini, sentiasa berwaspada ketika menziarahi ahli keluarga.
“Pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup dan sesak, amalkan TRIIS (Uji, Lapor, Asingkan, Maklum dan Dapatkan Rawatan). Buat ujian kendiri sebelum pulang ke kampung,” katanya di Twitter hari ini.
Kementerian Kesihatan melaporkan 3,561 kes Covid-19 semalam, kali pertama negara mencatatkan lebih 3,000 jangkitan harian sejak 13 Mei.
Malaysia tidak mencatatkan jangkitan sebanyak ini sejak 24 April, apabila 4,006 kes dicatatkan.
Kira-kira 4.58 juta kes kini dilaporkan sejak permulaan pandemik.
Malaysia memasuki fasa endemik Covid-19 pada 1 April.
Bermula 1 Mei, beberapa sekatan lain dilonggarkan, yang turut membenarkan perhimpunan dan perjalanan rentas negeri tanpa mengira status vaksinasi, antara lainnya.
Negara ini melaporkan kes harian di bawah 3,000 sejak beberapa bulan lalu sehingga semalam. – 7 Julai, 2022.
Komen