KES harian Covid-19 meningkat kepada 3,561 semalam, melepasi angka 3,000 buat pertama kali sejak 13 Mei, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Kali terakhir negara melaporkan lebih banyak jangkitan berbanding semalam ialah pada 24 April dengan 4,006 kes dicatatkan.
Jumlah kumulatif kes kini berjumlah 4,582,302.
Terdapat lima kematian dilaporkan dengan dua daripadanya diisytiharkan sebagai kematian di luar hospital.
Ini menjadikan jumlah kematian kepada 35,792 dengan 7,589 daripadanya melibatkan kematian di luar hospital.
Daripada kes baharu yang dilaporkan semalam, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan kes empat angka dengan 1,341 jangkitan.
Kuala Lumpur melaporkan 994 kes, Perak (243), Sabah (196), Negeri Sembilan (160), Putrajaya (123), Pulau Pinang (119), Melaka (97), Johor (72), Sarawak (55), Kedah (51), Pahang (38), Kelantan (37), Terengganu (17), Perlis (11) dan Labuan (7).
Daripada lima kematian, Selangor melaporkan dua, manakala Kuala Lumpur, Sarawak dan Pahang masing-masing satu.
Kes di Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan kematian di luar hospital.
Kes aktif meningkat kepada 31,540 semalam, apabila 2,035 orang pulih daripada penyakit itu.
Daripada jumlah keseluruhan kes aktif, sebanyak 30,290 (96%) berada dalam kuarantin rumah, 26 (0.1%) berada di pusat kuarantin berisiko rendah dan 1,184 (3.9%) berada di hospital.
Empat puluh pesakit berada dalam unit rawatan rapi, 23 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 7 Julai, 2022.

Komen